MUAR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan sebanyak 304 kertas undi pos kepada yang berhak untuk mengundi secara pos bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pengeluaran kertas undi pos pada 28 Ogos lalu adalah oleh petugas pilihan raya di kedua-dua kerusi.
Katanya, bagi Parlimen Pulai sebanyak 226 kertas undi pos telah dikeluarkan terdiri daripada 172 Kategori 1A (petugas pilihan raya, ahli dan pegawai SPR, anggota polis, anggota tentera, dan petugas media), 22 undi pos bagi Kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara), enam Kategori 1C (agensi dan organisasi) serta 26 pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.
“Manakala bagi PRK DUN Simpang Jeram, sebanyak 78 kertas undi pos dikeluarkan terdiri daripada 62 Kategori 1A, 10 undi pos bagi Kategori 1B dan enam PTH luar negara.
“Proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran ejen undi pos daripada semua calon yang bertanding,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambah Ikmalrudin, SPR mengingatkan semua pengundi pos membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul Borang Perisytiharan Identiti (Borang 2) serta segera mengembalikannya kepada pegawai pengurus sebelum pukul 5.00 petang pada hari mengundi 9 September depan.
Ujarnya, pengundi juga diingatkan agar menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya dalam laman media sosial. – UTUSAN