MELAKA: Pelantikan Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka daripada Pakatan Harapan (PH) membuktikan keharmonian hubungan kerajaan perpaduan di negeri ini.
Timbalan Yang Dipertua DUN yang baharu dilantik, Kerk Chee Yee berkata, pelantikan itu adalah hasil pembentukan kerajaan perpaduan selepas Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13 pada 31 Mac lalu.
Kata beliau, sebelum ini beberapa ahli dewan undangan negeri (ADUN) PH telah dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan timbalan Exco.
“Sekarang saya sebagai ADUN membawa tiket PH dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua DUN Melaka. Saya lihat ini satu lagi langkah yang menunjukkan perpaduan dalam kerajaan negeri.
“Terima kasih kepada semua yang memberi kepercayaan kepada saya. Sudah tentu sebagai ADUN yang berkhidmat lebih lima tahun, banyak idea yang ingin saya bawa dalam konteks reformasi institusi ini.
“Bagi saya DUN ini bukan tempat untuk wakil rakyat berbahas atau bertanya soalan tetapi merupakan satu ruang dan platform untuk membawa aspirasi rakyat. Saya hargai peluang ini dan akan melakukan yang terbaik untuk Melaka,” katanya dalam sidang akhbar pada Persidangan Kedua Penggal Kedua DUN Melaka Ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Terdahulu Chee Yee (PH-Ayer Keroh) mengangkat sumpah sebagai Timbalan Yang Dipertua DUN selepas dilantik memegang jawatan itu berkuatkuasa hari ini.
Chee Yee menggantikan Datuk Khaidhirah Abu Zahar (BN-Rim) yang sebelum ini dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Pelantikan itu mengesahkan desas-desus sebelum ini bahawa beliau akan mengisi kekosongan tersebut selepas namanya ‘tercicir’ tidak dilantik memegang sebarang jawatan Exco dan timbalan Exco. – UTUSAN










