DUN Melaka lulus enakmen anti lompat parti

DUN Melaka lulus enakmen anti lompat parti

RUU Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 berkaitan anti lompat parti diluluskan di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka sebulat suara meluluskan Rang Undang-undang Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 berkaitan anti lompat parti.

Usul tersebut mendapat sokongan 24 ahli dewan undangan negeri (ADUN) termasuk dua ADUN pembangkang manakala empat ADUN tidak hadir sesi pengundian.

Seramai empat ADUN mengambil bahagian dalam perbahasan iaitu Zulkiflee Mohd. Zin (BN-Taboh Naning), Datuk Khaidhirah Abu Zahar (BN-Rim), Low Chee Leong (PH-Kota Laksamana dan Dr. Mohd. Aleef Yusof (PN-Sungai Udang).

Terdahulu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, RUU itu dicadangkan bagi menyelaraskan pindaan undang-undang di peringkat Persekutuan.

Menurut beliau, pindaan Seksyen 6 Akta A1663 telah memadamkan Sub-seksyen 5 Seksyen 6 dalam Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan yang mana pada sebelum pindaan ini berkuatkuasa, mana-mana ADUN yang melepaskan keahlian dalam DUN akan hilang kelayakan sebagai ADUN bagi tempoh lima tahun dari tarikh pelepasan jawatan tersebut.

“Dalam bahasa mudahnya, setelah pindaan ini berkuatkuasa mana-mana ADUN yang melepaskan jawatan kini tidak lagi disekat untuk bertanding semula. Pindaan Seksyen 7 Jadual Ke 8 Akta A1663 pula telah memasukkan Seksyen baharu iaitu Seksyen 7A yang mana melarang ADUN untuk bertukar parti.

“Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan merupakan peruntukan-peruntukan penting yang perlu dimasukkan ke dalam perlembagaan oleh mana-mana negeri. Kerajaan Negeri Melaka turut mengambil langkah untuk meminda perlembagaan bagi menyelaraskan undang-undang negeri dengan undang-undang di peringkat Persekutuan,” katanya dalam pembentangan RUU Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Tambah Ab. Rauf, terdapat lima fasal dipinda daripada RUU Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023.

Jelasnya, antara yang ditekankan pada fasal itu adalah sekiranya ADUN bertukar parti politik seperti yang disenaraikan oleh Perkara 13A, maka mereka akan kehilangan kelayakan sebagai ahli.

“Kerusinya hendaklah menjadi kosong sebaik sahaja suatu tarikh kekosongan luar jangka dipastikan oleh Yang Dipertua Dewan di bawah Fasal (3) Perkara baharu 13A jika setelah dipilih ke DUN sebagai anggota suatu parti politik, dia melepaskan keanggotaan atau terhenti menjadi anggota parti politik itu.

“Perkara yang sama juga terpakai bagi calon Bebas yang setelah dipilih ke DUN, menyertai suatu parti politik. Perkataan ‘anggota suatu parti politik’ yang disebut dalam Perkara baharu 13A hendaklah termasuk ADUN yang bukan anggota mana-mana parti politik yang membentuk suatu gabungan parti politik tetapi ialah anggota gabungan itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya