Muhamad Akmal minta Tony Pua ‘cermin diri’

Muhamad Akmal minta Tony Pua ‘cermin diri’

tony pua
MUHAMAD AKMAL SALEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tindakan bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua yang melabel Barisan Nasional (BN) sebagai ‘pakatan korup’ telah merobek keharmonian dan kesepaduan sedang dibentuk dalam kerajaan perpaduan yang lahir atas dasar toleransi dan semangat nasional.

Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh menyelar tindakan bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu dengan memberi peringatan bahawa, Malaysia ketika di bawah pentadbiran BN telah dipacu dengan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Beliau berkata, namun semasa negara beralih kepada kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) yang mana Tony dilantik sebagai penasihat kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Malaysia melalui zaman gelap sehingga kerajaan rebah dalam tempoh 22 bulan.

“Beliau (Tony) yang bertugas di Kementerian Kewangan tidak mampu memacu perkembangan ekonomi negara sehingga Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) jatuh merudum dan hutang negara meningkat secara mendadak.

“Ini belum dikira dengan kejatuhan nilai mata wang ringgit akibat tindakan dan keceluparan beliau yang memberi gambaran negatif tentang negara.

“Pemuda UMNO menyarankan agar Tony cermin dahulu diri sendiri sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan, sedangkan beliau hanya ‘tin kosong’ yang tidak memberi manfaat kepada pembangunan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, Tony tidak lagi memegang sebarang jawatan dalam parti, justeru kenyataan dibuatnya adalah atas kapasiti individu dan tidak mewakili kepemimpinan DAP.

Tambah Muhamad Akmal, jangan kerana tindakan biadab seseorang, ia bakal mengakibatkan keharmonian dan persefahaman yang ingin dibentuk tergendala dan berhenti di tengah jalan.

“Tony harus belajar bahawa kehadiran UMNO dalam kerajaan perpaduan adalah aset penting dalam memastikan nasib dan igauan ngeri orang Melayu ketika 22 bulan di zaman PH tidak kembali berulang.

“Selain itu juga, kepakaran dan pengalaman Menteri BN ketika ini juga yang menjadi faktor penting kepada kelancaran pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pergerakan Pemuda menuntut DAP agar mengambil tindakan tegas kepada Tony,” katanya. – utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×