Kit Siang hormati pendirian Tuan Ibrahim tolak 'pinangan' kerjasama - Utusan Malaysia

Kit Siang hormati pendirian Tuan Ibrahim tolak ‘pinangan’ kerjasama

LIM KIT SIANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang menghormati pendirian Pas yang menolak ‘pinangan’ untuk bekerjasama di dalam satu wadah politik nasional.

Menurut bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, beliau mengutarakan cadangan itu kerana percaya penting untuk semua pihak menyelesaikan masalah kemiskinan dan kekurangan pembangunan di Kelantan, Terengganu dan Kedah sekiranya Malaysia mahu menjadi sebuah negara maju.

“Baru-baru ini, Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti, Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff telah membuat komen yang tepat mengenai kualiti air yang teruk, jalan yang sempit dan berlubang dan sampah yang tidak dikutip di Kelantan.

“Perkara ini merupakan satu penindasan yang telah berlanjutan selama lebih 60 tahun bukan sahaja kepada rakyat Kelantan, tetapi juga kepada Malaysia apabila perkara buruk seperti ini dibiarkan untuk berterusan sedangkan isu-isu memerlukan penyelesaian segera.

“Saya menghormati pandangan Tuan Ibrahim (Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man) mengenai cadangan saya ini tetapi saya percaya penting untuk kita selesaikan masalah kemiskinan dan kekurangan pembangunan di Kelantan, Terengganu dan Kedah sekiranya Malaysia hendak menjadi sebuah negara maju,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Kit Siang mencadangkan Kerajaan Perpaduan untuk menghulurkan tangan kerjasama dengan Pas menjelang pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Sebaliknya semalam Utusan Malaysia melaporkan Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden Pas memberitahu, pihaknya tetap memilih berkawan dan tetap setia bersama Perikatan Nasional (PN) walaupun menerima lamaran pinangan DAP untuk bekerjasama di dalam satu wadah politik nasional.

Beliau menjelaskan, pihaknya tidak sesekali memungkiri janji dan bohong kepada pengundi dengan meninggalkan PN setelah parti itu memilih bersama-sama komponen lain di bawah satu gabungan sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Baru-baru ini pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz di Kota Bharu, Kelantan mencetuskan persoalan dan ada mengaitkan usaha itu sebagai hulur salam kerjasama antara pemimpin Kerajaan Perpaduan dengan Pas.

Malah Anwar menyatakan kerajaannya sedia bekerjasama untuk menyelesaikan masalah air dihadapi negeri diperintah Pas sejak berdekad lalu.

Selain itu, Kit Siang merakamkan ucapan terima kasih kepada Tuan Ibrahim yang mengatakan bahawa Pas tidak mempunyai apa-apa isu peribadi dengan DAP dan berpegang dengan janji yang dibuat dengan rakyat semasa kempen pilihan raya iaitu tidak akan menipu pengundi dengan meninggalkan PN jika menerima tawaran kerjasama itu.

“Saya boleh bersetuju dengan Tuan Ibrahim mengenai cadangan saya ini dan perkara ini menjadi contoh di mana para pemimpin politik boleh untuk tidak bersetuju dengan baik tanpa perlu turun ke kancah penipuan, fitnah, berita palsu dan tuduhan tanpa bukti serta tidak masuk akal di antara satu sama lain,” katanya.

Pada masa sama, Kit Siang menjelaskan pandangan kerjasama itu adalah idea peribadi dirinya dan bukannya cadangan DAP memandangkan beliau belum membincangkan perkara itu dengan Setiausaha Agung parti, Anthony Loke Siew Fook atau mana-mana pemimpin lain.

Justeru katanya, perkara itu merupakan sebab mengapa beliau menolak cadangan Anthony Loke untuk melantik dirinya sebagai Mentor DAP kerana ingin bebas memberikan pandangan dan idea peribadi mengenai situasi politik semasa baik di peringkat kebangsaan atau antarabangsa tanpa perlu melibatkan parti secara langsung. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya