Geng Perpaduan jadi platform hadapi PRN

Geng Perpaduan jadi platform hadapi PRN

MUHAMAD AKMAL Saleh berucap pada Kursus Pengurusan dan Watikah Lantikan Peserta Kebun Kerang Melaka di sebuah hotel di Banda Hilir, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Geng Perpaduan bakal menjadi platform baharu buat pergerakan pemuda parti-parti gabungan kerajaan perpaduan dalam usaha meyakinkan para pengundi terutama kelompok pengundi automatik 18 tahun (Undi18), khusus untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, ia akan dilancarkan semasa Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, Ahad ini.

Beliau berkata, penubuhan Geng Perpaduan juga bakal membuktikan kesepakatan dalam kalangan parti-parti yang mendukung kerajaan Persekutuan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), terutama dua blok terbesarnya iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Sebab itu, Ahad ini kita akan lancarkan Geng Perpaduan yang mana kita akan gunakan sayap pemuda parti-parti politik dalam kerajaan perpaduan untuk terlibat dalam gerak kerja PRN akan datang.

“Ini juga akan membuktikan cakap-cakap yang mendakwa kononnya parti-parti dalam kerajaan perpaduan ini goyah, maka ia boleh dibuktikan kerjasama erat dalam kalangan sayap pemuda parti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Pengurusan dan Watikah Lantikan Peserta Kebun Kerang Melaka di sebuah hotel di Banda Hilir di sini, hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, BN dan PH selaku sekutu dalam kerajaan perpaduan tidak berdepan krisis pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk PRN di enam negeri yang dijangka berlangsung seawal-awalnya Jun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kepemimpinan kedua-dua gabungan di negeri terlibat iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor hampir memuktamadkan pembahagian bagi mengelak berlakunya pertembungan.

Tegasnya, kemenangan dalam PRN berkenaan penting sebagai manifestasi pengiktirafan kepada kerajaan perpaduan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tambah Muhamad Akmal, Geng Perpaduan akan dianggotai pemuda daripada BN, PH, Parti Warisan Sabah (Warisan), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) termasuk Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

“Kita jangkakan pada pelancaran Ahad ini, lebih 2,000 atau 3,000 pemuda Geng Perpaduan akan hadir demi masa depan Malaysia,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya