Ahmad Zahid dakwa PN akan pecah - Utusan Malaysia

Ahmad Zahid dakwa PN akan pecah

Ahmad Zahid Hamidi memberikan amanat sempena Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-77 di Surau Ar-Rahman Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Gabungan parti yang memperjuangkan Melayu Islam didakwa akan berpecah kerana sudah mula ada keretakan yang berlaku.

Tanpa menamakan nama gabungan parti berkenaan, ia dipercayai merujuk kepada Perikatan Nasional (PN) yang disertai Pas di mana sebelum ini mempunyai rekod bersama dengan UMNO yang cuma mewujudkan persefahaman atas nama Melayu Islam menerusi piagam Muafakat Nasional (MN).

Bagaimanapun Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama itu tidak berjaya apabila Pas memilih parti lain untuk meneruskan kerjasama dan akhirnya UMNO ‘ditendang’, sekali gus percaya perkara itu akan berlaku kepada rakan gabungannya itu.

“Dulu walaupun kita cuba dengan perasaan yang mahu mewujudkan penyatuan ummah, kita telah cuba atas nama piagam dan Muafakat Nasional (MN) tapi parti itu dengan siapa pun apabila dia bersekongkol dia akan tendang dan terajang termasuk kita.

“Saya yakin gabungan parti yang disertai oleh parti itu sekarang ini pun apabila kocakan mula berlaku, saya fikir tak lama gabungan itu akan pecah dan rakan kongsi politik akan juga ditendang sebagaimana dia tendang kita,” katanya ketika ucapan perutusan sempena Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-77 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), hari ini.

Ahmad Zahid dalam masa yang sama menjelaskan, meskipun UMNO kini dalam rakan gabungan baharu menerusi Kerajaan Perpaduan, namun perjuangan asas tidak pernah ditinggalkan dalam mengukuhkan kekuatan Melayu dan Islam sebagai teras.

“Kalau kini kita menjadi sebahagian daripada kerajaan, walaupun jumlah sumbangan kita kecil, namun kalau kita lihat mudarat, mana lebih besar? Mana lebih kecil kalau kita bersama satu pihak kini bersama rakan kita dalam Kerajaan Perpaduan? Tentu kita lihat mudarat yang kita pernah bersama-sama satu pihak atas nama Melayu kononnnya, atas nama Islam kononnya dan mereka masih menemplak Islam tergugat.

“Sedangkan kita berada dalam kerajaan sekarang ini, kita tidak pernah meninggalkan perjuangan untuk mensyumulkan Islam berasaskan akar umbi, tunjang kita sebagai orang Melayu, maka kita akan terus perkukuhkan perjuangan tanpa tinggalkan kemajmukan bahawa Malaysia sebuah negara majmuk,” katanya.

Tegasnya, selagi UMNO berada di bawah payung besar kerajaan hari ini, perlembagaan negara yang meletakkan kedudukan Islam sebagai agama yang utama akan terus dipelihara tanpa digugat mana-mana pihak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN