Satu jawatan Timbalan Exco Melaka belum diisi 

Satu jawatan Timbalan Exco Melaka belum diisi 

AB. Rauf Yusoh dalam sidang akhbar mengumumkan senarai Timbalan Exco selepas mempengerusikan mesyuarat Exco pertama di Hotel Ames, Ayer Keroh, Melaka. -  UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Hanya satu daripada 10 jawatan Timbalan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) belum diisi, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Beliau berkata, jawatan Timbalan Exco yang belum diisi adalah bagi portfolio Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO di bawah V. Shanmugam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek.

“Kita sedang menunggu keputusan daripada mereka (ADUN) yang tidak dapat dihubungi sampai  hari ini. Nanti kita akan maklumkan,” ujarnya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco pertama di Hotel Ames, Ayer Keroh di sini.

Seramai tujuh ADUN dari Barisan Nasional (BN) dan dua dari blok Pakatan Harapan (PH) disenaraikan berada dalam senarai Timbalan Exco yang diwujudkan semula.

Antara ADUN yang belum memegang sebarang jawatan ialah bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali (Lendu), Kerk Chee Yee (Ayer Keroh), Datuk Muhammad Jailani Khamis (Rembia) dan Datuk Lim Ban Hong (Klebang).

Mengulas lanjut Ab. Rauf berkata, pelantikan Timbalan Exco adalah bagi memantapkan struktur organisasi pentadbiran baharu Kerajaan Perpaduan yang dibentuk di negeri ini.

Menurutnya, kemudahan yang akan diterima bagi ADUN yang memegang jawatan tersebut adalah seperti kenderaan rasmi dan pemandu.

“Mereka ini hanya menghadiri mesyuarat post Exco dengan tujuan maklumat-maklumat daripada mesyuarat Exco secara langsung dapat membantu dan memberikan sumbangan membangunkan kerajaan  negeri,” ujarnya.

Mengenai jawatan Timbalan Speaker yang kosong selepas Khaidirah dilantik sebagai Timbalan Exco, Ab. Rauf berkata, perkara tersebut diputuskan bila tiba masanya nanti.

Tujuh ADUN dari Barisan Nasional (BN) yang dilantik sebagai Timbalan Exco terdiri daripada ADUN Rim, Datuk Khaidirah Abu Zahar (Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET); ADUN Taboh Naning, Zulkiflee Mohd. Zin (Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana) dan ADUN Serkam, Datuk Zaidi Attan (Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan).

Empat lagi tersenarai ialah ADUN Duyong, Mohd. Noor Helmy Abdul Halem (Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital); ADUN Sungai Rambai,  Siti Faizah Abdul Azis Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan); ADUN Durian Tunggal, Zahari Abd. Kalil (Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan) dan ADUN Pantai Kundor, Tuminah Kadi (Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna).

Dua ADUN DAP turut dilantik ke jawatan tersebut ialah ADUN Bandar Hilir, Leng Chau Yen (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti) dan ADUN Kota Laksamana, Low Chee Leong (Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.