MELAKA: Pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) mencerminkan kematangan politik di Melaka.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, terdapat naratif politik baharu di negeri ini iaitu kerjasama politik yang merentasi faktor etnik dan dapat memupuk perkongsian kuasa antara pelbagai kaum serta parti.
Katanya, kerjasama tersebut tiada istilah kesukaran kerana beliau bersedia mengambil tanggungjawab untuk merealisasikan aspirasi kerajaan Persekutuan.
“Mengapa mesti bercakap soal kesukaran? Kalau kita takut jatuh, jangan panjat. Kalau takut lemas, jangan berenang.
“Saya ambil tanggungjawab ini dengan dipandu pucuk pimpinan terutama Presiden parti (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) yang memberi saya amanah untuk bersama-sama mencerminkan kerajaan perpaduan di Melaka seperti di peringkat Pusat.
“Kita boleh ada kebersamaan. Kematangan politik bermula di Melaka kerana kita telah memasuki era politik baharu yang dipanggil kerjasama politik,” katanya dalam sidang akhbar selepas Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia Exco di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Terdahulu, seramai 10 Exco Melaka yang baharu selesai mengangkat sumpah di Seri Negeri, pagi tadi.
Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia dilakukan di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam di Bilik Mesyuarat Tun Fatimah, kira-kira pukul 8.40 pagi.
Seramai tujuh ADUN di bawah kepemimpinan Ketua Menteri Melaka Ke-12, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali dilantik semula iaitu ADUN Paya Rumput, Datuk Rais Yasin; ADUN Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; ADUN Merlimau, Dr. Muhamad Akmal Saleh dan ADUN Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Nordin.
Turut dilantik semula ialah ADUN Gadek, VP. Shanmugam; ADUN Machap Jaya, Ngwe Hee Sem dan ADUN Ayer Molek; Datuk Rahmad Mariman.
Tiga muka baharu yang menyertai barisan Exco pimpinan Ab. Rauf ialah ADUN Asahan, Fairul Nizam Roslan; ADUN Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan ADUN Kesidang daripada PH, Seah Shoo Chin.
Sementara itu, Shoo Chin mengakui, tiada sebarang kesukaran dalam menjalinkan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan PH memandangkan pelantikannya sebagai Exco dibuat secara teratur dan baik.
“Saya percaya dengan kerjasama hari ini, kita akan lihat satu politik yang lebih matang tanpa mengira latar belakang termasuk kaum, budaya dan bahasa. Matlamat kita adalah untuk bekerjasama membangunkan Melaka.
“Seperti yang dimaklumkan Ketua Menteri, tiada perkataan kesukaran. Kita semua dijemput dalam perbincangan untuk menyertai kerajaan ini secara aman dan damai,” katanya. – UTUSAN