Pejuang Melaka dakwa pemimpin BN kejar kedudukan

Pejuang Melaka dakwa pemimpin BN kejar kedudukan

SHEIKH IKHZAN SHEIKH SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Peletakan jawatan Ketua Menteri Melaka Ke-12, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali menunjukkan Barisan Nasional (BN) sejak memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada November 2021, sekadar memenuhi nafsu kerakusan diri sendiri, kata Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Melaka, Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh.

Beliau mendakwa, ini sekaligus membuktikan sikap sebenar pemimpin BN yang lebih mengejar kuasa dan kedudukan berbanding memberi tumpuan kepada usaha membantu rakyat.

Menurutnya, timbul persoalan bagaimana pergolakan dalaman tetap berlaku sedangkan BN menang dengan majoriti lebih dua pertiga.

“Penjelasan perlu diberikan mengapa Sulaiman meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri sedangkan BN menang PRN negeri dengan lebih daripada dua pertiga majoriti.

“Sepatutnya ini adalah asas yang kuat bagi menjamin kestabilan kerajaan dan seterusnya melaksanakan agenda bagi kepentingan rakyat Melaka,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, Sulaiman menjelaskan bahawa keputusannya meletakkan jawatan dibuat tanpa paksaan mana-mana pihak, tetapi untuk memberi peluang kepada pemimpin lain meneruskan pentadbiran kerajaan negeri.

Jelasnya, keputusan melepaskan jawatan telah beberapa kali disuarakan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ketua Menteri Melaka yang baharu bakal berlangsung hari ini, pukul 3 petang.

Tambah Sheikh Ikhzan, laungan undi BN bagi menjamin kestabilan politik semasa PRN lalu juga disifatkan omong kosong dan sekadar mahu memperdayakan rakyat.

“Saya berpandangan bahawa sepatutnya mereka mengutamakan tentang masalah rakyat yang sedang meruncing dan fikirkan solusi penyelesaian terbaik. Janganlah selepas esok ada lagi berlaku pertukaran Ketua Menteri yang tidak berkesudahan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN