MELAKA: Sebahagian besar Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Tangga Batu tidak menghadiri mesyuarat pertama bahagian itu di bawah Ketua Bahagian yang baharu dilantik, Datuk Rais Yasin, malam ini.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Shahrin Muharam berkata, beliau bersama Naib Ketua Bahagian, Ketua Wanita Bahagian dan Ketua Puteri Bahagian termasuk AJK dua sayap mengambil keputusan itu berdasarkan surat dikeluarkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), Tan Sri Shahrir Abdul Samad pada 27 Mac lalu.
Ujarnya, surat tersebut memaklumkan Jawatankuasa Bantahan Pemilihan UMNO telah membuat keputusan dan ketetapan bahawa pemilihan bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu pada 18 Mac lalu adalah tidak sah.
“Sehubungan itu, Rais tidak boleh mempengerusikan mesyuarat bahagian selagi pemilihan baharu tidak dibuat seperti tertera pada surat bertarikh 27 Mac lalu. Saya berpegang kepada surat yang dihantar oleh Shahrir dan pemilihan semula jawatan Ketua Bahagian perlu diadakan semula.
“Justeru, sebagai Timbalan Ketua Bahagian saya akan menggalas segala urusan pentadbiran buat sementara waktu sehingga pemilihan Ketua Bahagian diadakan semula seperti yang diarahkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan keabsahan kemenangan Rais sebagai Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu yang baharu.
Kenyataan itu dibuat selepas tularnya satu surat didakwa dikeluarkan JPU yang membatalkan kemenangan Rais dalam Pemilihan UMNO pada 18 Mac lalu.
Ditanya adakah surat berkenaan palsu, Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau tidak pasti namun mengesahkan bahawa Rais kekal sebagai Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka. – UTUSAN











