MELAKA: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali menang tanpa bertanding jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah selepas tiada calon lain menawarkan diri, sebaik sahaja sesi penyerahan borang pencalonan Pemilihan UMNO 2023 tamat pukul 5 petang tadi.
Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh turut mempertahankan jawatan disandangnya itu pada pemilihan kali ini dengan turut tidak dicabar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer juga menang secara automatik jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah.
Dalam pada itu, UMNO Bahagian Jasin paling mencuri perhatian apabila empat calon menawarkan diri bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian itu.
Setiausaha UMNO Bahagian Jasin, Datuk Abdul Kalam Hasan berkata, penyandang, Datuk Hasan Rahman dicabar ADUN Merlimau, Dr. Muhamad Akmal Saleh dan ADUN Serkam, Datuk Zaidi Attan.

“Seorang lagi calon yang telah menghantar borang ialah Bendahari Bahagian, Datuk Yusof Osman yang menjadikan empat calon menawarkan diri merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Jasin pada pemilihan parti kali ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Abdul Kalam berkata, saingan tiga penjuru berlaku bagi jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jasin apabila bekas ADUN Merlimau, Datuk Roslan Ahmad yang mempertahankan jawatan disandang dicabar Pengarah Kewangan UMNO, Datuk Shahrul Azuwar Abdul Aziz dan Ahli Jawatankuasa Bahagian, Azman Abdulah.
Katanya, bagi jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian Jasin pula, ia menyaksikan saingan membabitkan ADUN Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar serta dua Ahli Jawatankuasa Bahagian, Zainurin Pilus serta Hisyam Dali.
Sementara itu, dua lagi Ketua UMNO Bahagian di Melaka turut berjaya mengekalkan jawatan masing-masing. Mereka ialah Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali.
Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berdepan situasi `satu lawan satu’ apabila dicabar ADUN Paya Rumput, Datuk Rais Yasin.
Bagi UMNO Bahagian Alor Gajah pula, pemangku jawatan Ketua UMNO Bahagian itu yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Rospandi Leman ditentang ADUN Asahan, Fairul Nizam Roslan. – UTUSAN










