SHAH ALAM: Ketua Puteri UMNO Bahagian Pandan, Wan Noor Akyilah Wan Shapuddin menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pergerakan Puteri parti itu pada pemilihan parti itu kali ini.
Beliau yang mesra disapa sebagai Sis Lin menjadi satu-satunya calon dari Selangor bagi menandingi lima calon lain di peringkat sayap itu setakat ini.
Wan Noor Akyilah berkata, beliau berpegang kepada prinsip untuk terus berjuang dan berkhidmat bersama UMNO yang disertainya sejak 21 tahun lalu.
“Asas perjuangan saya kini mahu memastikan golongan anak muda dan belia kembali kepada parti.
“Selain itu, saya sebagai ahli perniagaan ingin memberi ruang dan peluang keusahawanan kepada ahli Puteri dalam suasana ekonomi tidak menentu ketika ini,” katanya ketika ditemui, malam tadi.
Tambah beliau yang merupakan seorang usahawan syarikat pemproses silika, hasrat bertanding itu turut sudah dimaklumkan kepada Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.
“Alhamdulillah, saya mendapat restu beliau yang turut mendoakan kejayaan pada pemilihan nanti. Saya berharap semua pihak memberi peluang supaya terpilih sebagai ketua sayap baharu kelak,” ujarnya.
Sementara itu, Megat Zulkarnain berkata, tindakan Wan Noor Akyilah menyatakan hasrat kepada kepimpinan UMNO negeri dipuji kerana mengikut tatacara yang betul.
“Kita mengambil maklum perkara itu dan menghormati hasrat beliau yang dianggap besar untuk parti. Ketua Pergerakan Puteri sebelum ini juga dari Selangor dan saya berharap beliau terus berkembang serta berjaya nanti,” katanya. – UTUSAN










