Perebutan empat jawatan ketua bahagian di Melaka

Perebutan empat jawatan ketua bahagian di Melaka

pau2022
TIGA ketua bahagian dan seorang pemangku ketua bahagian UMNO di Melaka dijangka dicabar dalam pemilihan parti peringkat bahagian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seramai tiga ketua bahagian dan seorang pemangku ketua bahagian UMNO di Melaka dijangka dicabar dalam pemilihan parti peringkat bahagian pada 18 Mac ini.

Mereka ialah Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Hasan Rahman; Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali; Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dan pemangku Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Rospandi Leman.

Kesemua mereka dipercayai bakal berdepan cabaran satu lawan satu yang mana saingannya berkemungkinan terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Setakat ini, Utusan Malaysia difahamkan, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yang juga Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah dan Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dijangka menang tanpa bertanding memandangkan tiada calon lain menawarkan diri.

 

Dalam pada itu, Rospandi yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah mengesahkan menawarkan diri bertanding jawatan ketua bahagian pada pemilihan kali ini.

Beliau yang menyandang posisi timbalan ketua bahagian sejak 2013 berbuat demikian untuk mengisi kekosongan ditinggalkan penyandang, Datuk Seri Abdul Ghafar Atan yang meninggal dunia akibat Covid-19 pada 17 November 2022.

“Saya menawarkan diri bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah kerana mempunyai pengalaman luas di bahagian ini sejak 1985.

“Semasa saya bertugas di bahagian ini, saya telah bersama lima ketua bahagian yang terdahulu dan insya-Allah jika diberi mandat, saya mampu melaksanakan tugas bagi memperkukuhkan parti terutama selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15),” katanya.

 

Ditanya sama ada terdapat calon lain menawarkan diri, Rospandi berkata, belum ada mana-mana pemimpin bahagian itu yang menyatakan kesediaan untuk merebut jawatan itu.

“Keputusan siapa calon yang akan bertanding jawatan tersebut hanya akan diketahui apabila tarikh akhir menghantar borang permohonan berakhir pada 26 Februari ini,” jelasnya.

Sementara itu, kedudukan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali untuk bertanding sebarang jawatan peringkat bahagian masih samar setakat ini.

Hal ini kerana, ADUN Lendu itu sering mengelak daripada menjawab soalan berkaitan pemilihan parti dalam setiap sidang akhbarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN