PETALING JAYA: “Pengikut dan ahli Pas begitu percaya serta taat kepada pimpinan parti kerana mereka menganggap pemimpin dari sebuah parti yang mempunyai nama Islam tidak mungkin mahupun boleh membuat silap atau salah seolah-olah mereka itu golongan maksum.”
Demikian lontaran sinis daripada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah yang berpendapat penyokong-penyokong Pas seperti sentiasa ‘menghalalkan’ apa sahaja perbuatan pemimpin daripada parti tersebut.
Katanya, semua penyokong Pas sudah diajar untuk sentiasa taat kepada pimpinan seolah-olah ahli politik daripada parti tersebut adalah maksum.
“Lebih 30 tahun masalah air tidak bersih di Kelantan berlarutan, rakyat boleh menerima keadaan tersebut tanpa banyak bantahan. Malah, dalam keadaan kekurangan wang Kerajaan Negeri Kelantan boleh membeli kereta mewah untuk kegunaan pemimpin tetapi rakyat senyap.
“Semasa bekalan air bersih di beberapa daerah di Terengganu putus begitu lama dan Menteri Besar hampir seminggu masalah berlaku baru pulang ke negeri. Rakyat dan ahli Pas senyap sahaja.
“Sekarang banjir besar di Terengganu dan Menteri Besar (Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar) mengambil peluang untuk bercuti di musim lazim tengkujuh ke New Zealand. Ahli Pas diam,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Terdahulu, Ahmad Samsuri disahkan berada di Auckland, New Zealand ketika Terengganu menghadapi banjir. Bagaimanapun hari ini, Menteri Besar Terengganu itu memohon maaf kepada semua mangsa banjir yang terlibat dan beliau kesal kerana tidak bersama dalam tempoh yang kritikal.
Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang sedang bercuti bersama keluarganya.
Raja Kamarul yang mengulas mengenai cadangan Prof. Dr. Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia yang mencadangkan Ahmad Samsuri memohon maaf kerana bercuti di luar negara di saat negeri pimpinannya ditimpa musibah merasakan ia tidak akan berlaku.
“Apabila seseorang ahli Pas menghukum pengundi PH atau Barisan Nasional akan masuk neraka, yang meminta maaf adalah Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bukan pemimpin Pas. Muhyiddin tahu sangat ego pimpinan Pas terlalu besar untuk mohon maaf.
“Dahulu dikatakan keahlian parti Pas adalah kunci ke syurga. Sekarang ditambahkan pula undi selain daripada Pas masuk neraka. Lagilah takut pengikut Pas hendak bersuara kerana takut di hukum ke neraka pula,” katanya. – UTUSAN