ADUN PH Melaka harap platform, sumber setimpal

ADUN PH Melaka harap platform, sumber setimpal

KERK Chee Yee (kiri) dan Allex Seah Shoo Chin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka seharusnya diberikan ruang, platform serta sumber yang setimpal seiring kematangan era politik baharu dan jalinan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) di peringkat Persekutuan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, ADUN Ayer Keroh, Kerk Chee Yee berkata, kerjasama politik yang terjalin antara PH dan BN di peringkat Persekutuan adalah dalam bentuk Kabinet bersama.

Menurutnya, bagaimanapun semangat seperti itu mungkin tidak berlaku di Melaka selepas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali menegaskan, komposisi kerajaan negeri kekal seperti sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Sebenarnya semangat kerjasama di peringkat Persekutuan boleh dibawa ke peringkat negeri. Ini kerana Sulaiman pernah mengiktiraf pembangkang sebagai rakan strategik.

“Bergerak ke hadapan semangat itu boleh dipertingkatkan lagi walaupun PH bukan sebahagian daripada kerajaan negeri. Namun, pembangkang boleh dilibatkan secara bersama melalui pelbagai platform seperti jawatankuasa tindakan daerah dan sebagainya.

“Ini baru semangat rakan strategik. Pengiktirafan ini sudah lama berlaku sebelum adanya kerjasama PH-BN di peringkat Persekutuan,” katanya ketika dihubungI.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, status quo kerajaan negeri dan peranan PH selaku blok pembangkang DUN Melaka kekal dalam sidang yang akan bermula 12 Disember ini, meskipun telah wujud Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Sulaiman yang juga ADUN Lendu berkata, Melaka terlebih dahulu meraikan pembangkang sebagai rakan strategik kerajaan negeri, walaupun BN dan PH belum mencipta persefahaman seperti yang berlaku sekarang.

Jelasnya, kesemua tujuh ADUN pembangkang yang terdiri daripada lima wakil rakyat PH dan dua Perikatan Nasional (PN) turut diberikan bantuan serta peruntukan bagi memudahkan mereka menyelesaikan masalah setempat.

Sementara itu, ADUN Kesidang, Allex Seah Shoo Chin secara peribadi berpandangan, setiap parti dan pucuk pimpinan seharusnya mempunyai visi jangka panjang untuk melihat dinamik politik semasa.

Tegasnya, paling penting adalah semua pihak perlu menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung pembentukan Kerajaan Perpaduan.

“Sekarang kita tumpukan kepada kerja perpaduan antara rakyat dengan parti, itu paling penting. PH masih menjadi pembangkang di Melaka dan tetap memainkan peranan yang sama seperti sebelum ini. Kita akan membawa isu-isu rakyat dan kerajaan negeri perlu menjawabnya pada sidang DUN akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya