PRU15: 'Saya akan mudah didampingi di DUN Inderapura' - Mohd. Hafizal - Utusan Malaysia

PRU15: ‘Saya akan mudah didampingi di DUN Inderapura’ – Mohd. Hafizal

MOHD. HAFIZAL Mohamed Shah atau mesra dipanggil Tok Hafizal (kiri) melambai tangan ketika mengadakan tinjauan mesra di Pasar Malam Batu 3 di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Inderapura, Mohd. Hafizal Mohamed Shah akan menjadi wakil rakyat yang mudah didampingi jika menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Beliau berkata, pengalamannya berkhidmat bersama masyarakat bukan baharu kerana hampir 10 tahun menjadi penghulu Mukim Penor yang terletak dalam DUN Inderapura.

“Sebelum itu, saya berkhidmat sebagai penghulu Mukim Kuala Kuantan 1 selama lapan tahun.

“Atas elemen ini, insya-Allah saya mudah didampingi kerana tugas penghulu yang sentiasa memastikan saya berada di samping masyarakat,” katanya ketika ditemui di sini.

Pada PRU15 ini, DUN Inderapura menyaksikan pertembungan empat penjuru antara PN, Barisan Nasional (BN) Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Selain Mohd. Hafizal, BN diwakili penyandang, Datuk Seri Shafik Fauzan Sharif, Fakhrul Anuwar Zulkawi (PH) dan Norashikin Ismail (Pejuang).

Mohd. Hafizal yang mesra disapa Tok Hafizal berkata, dalam setiap siri jelajah sepanjang kempen pilihan raya umum (PRU) ini, sambutan rakyat kepada PN di Inderapura cukup baik dan memberangsangkan.

“Apabila kita bertemu pengundi, mereka menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada PN.

“Jika perkara berterusan sehingga hari pengundian pada 19 November ini, insya-Allah kita boleh menang di DUN Inderapura,” katanya.

Tok Hafizal bagaimanapun berkata, beliau berserah kepada Allah SWT atas apa jua keputusan, Sabtu ini.

“Namun, saya berkeyakinan tinggi dapat menawan DUN Inderapura atas pertolongan Allah SWT kerana umum mengetahui bahawa kerusi ini adalah kubu kuat UMNO,” katanya.

Beliau dalam pada itu berharap agar pengundi-pengundi di DUN Inderapura keluar mengundi dan meletakkan kepercayaan kepadanya untuk berkhidmat di kawasan tersebut.

“Apapun mereka bilang, tekadku takkan hilang, garis akhir yang ku pandang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya