PRU15: Kit Siang jangan sombong ramal PH akan menang - Ka Siong - Utusan Malaysia

PRU15: Kit Siang jangan sombong ramal PH akan menang – Ka Siong

WEE KA SIONG dan Saw Yee Fung (dua dari kiri) ketika melawat Pusat Kegiatan Desa di Permatang Damar Laut, Bayan Lepas, Pulau Pinang hari ini. - Pix IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAYAN LEPAS: Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong mengingatkan veteran DAP, Lim Kit Siang supaya tidak sombong dengan meramal Pakatan Harapan (PH) akan beroleh kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dalam masa sama, beliau turut meminta rakyat tidak terpengaruh dengan keyakinan Kit Siang itu memandangkan apa sahaja ramalan mengenai kemenangan PH ketika ini adalah strategi DAP semata-mata.

‘Saya cuma mahu beritahu (Kit Siang) jangan terlalu sombong. Saya tahu kita boleh menang di beberapa kerusi, tetapi tolong jangan terlalu sombong,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Pusat Kegiatan Desa di Permatang Damar Laut, di sini hari ini.

Yang turut hadir, calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Bayan Baru, Saw Yee Fung yang turut turun padang bertemu masyarakat setempat di kawasan Permatang Damar Laut.

Ka Siong mengulas mengenai kenyataan Kit Siang di Ipoh, Perak sebelum ini yang mendakwa suasana politik kini telah berubah dan BN serta UMNO belum tentu boleh menang dengan mudah pada PRU15.

Wee Ka Siong yang juga calon BN di kerusi Parlimen Ayer Itam berkata, jentera parti BN akan tetap bekerja keras dalam tempoh 12 hari akan datang dan beliau dengan rendah hati memohon sokongan rakyat.

”Apa sahaja yang Kit Siang kata tentunya dia mahu menjadi seorang yang opitimis, itu strategi dia.

“Tapi sejak bila kita dengar cakap Kit Siang? Sebelum ini dia katakan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai pemimpin yang korup tetapi kemudian mereka berbaik, DAP sendiri tidak konsisten,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kenyataan Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang, Zairil Khir Johari yang mana Pulau Pinang akan terus diketepikan oleh kerajaan Persekutuan jika BN atau Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan, Ka Siong berkata, sebelum ini pemimpin PH iaitu Lim Guan Eng juga pernah menjadi Menteri Kewangan selama 22 bulan.

”Semasa PH memerintah Guan Eng diberikan kuasa dan boleh buat apa sahaja, jadi tolong berlaku adil kepada kami kerana kamu (PH) pernah menjadi parti pemerintah dan tiada siapa halang ketika itu.

”Sekarang ini mereka mahu menyalahkan pihak lain pula, kamu janji nak hapuskan tol, tapi tak buat pula,” katanya.

Sementara itu tambah beliau, projek pembangunan infrastruktur seperti pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) juga tidak pernah dibatalkan oleh kerajaan Pusat seperti yang didakwa.

”Pada 2017 ketika BN membentangkan Bajet 2018, kita nyatakan mahu laksanakan projek pembesaran LTAPP, tapi apabila PH berkuasa mereka beritahu media ingin gunakan kaedah Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) pula.

”Mereka yang mencari pihak swasta, saya boleh bongkarkan, kalau dia nak tuding jari ambil cermin dan tengok apa dia lakukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya