KEPALA BATAS: Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican tiba di pusat penamaan calon P041 di Institut Latihan Perindustrian (ILP), di sini kira-kira pukul 9 pagi.
Beliau yang berpakaian serba biru kelihatan ceria dan bersemangat dengan diiringi lebih 3,000 penyokong yang berarak dari hadapan Sekolah Menengah Sains Kepala Batas, di sini.
Terdahulu, calon parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) yang bertanding atas tiket Gerakan Tanah Air (GTA), Hamidi Abu Hassan, 51, tiba kira-kira pukul 8.45 dengan diiringi hampir 100 penyokong.
Sementara itu, calon Pas yang mewakili Perikatan Nasional (PN), Dr. Siti Mastura Mohammad, 33, tiba kira-kira pukul 8.55 pagi dengan diiringi Ketua Parti Pribumi Malaysia (PPBM) Bahagian Kepala Batas, Khalid Mehtab Mohd. Ishaq serta ratusan penyokong PN. – UTUSAN