Calon BN Indera Mahkota selesa dipanggil Mat Quek - Utusan Malaysia

Calon BN Indera Mahkota selesa dipanggil Mat Quek

QUEK Tai Seong atau Mat Quek bertemu jentera dan pengundi Barisan Nasional (BN) di Bilik Gerakan BN di Beserah di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Walaupun berketurunan Cina, namun calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Indera Mahkota langsung tidak kekok berbahasa Melayu, malah kepetahannya berbicara menggunakan bahasa ibunda negara menarik perhatian sesiapa saja yang mendekatinya.

Ekoran keramahannya dan dilihat selesa bergaul dengan sesiapa sahaja, calon BN itu, Datuk Quek Tai Seong dipanggil dengan gelaran Mat Quek oleh pengundi yang ditemuinya ketika berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Tai Seong berkata, beliau mula dipanggil Mat Quek ketika bertemu pengundi dalam satu program di Kampung Batu Hitam di sini dan nama itu terus lekat sehingga kini.

“Saya lihat pengundi selesa dengan nama itu dan saya pun selesa, jadi biarlah ia kekal saya dipanggil Mat Quek oleh orang ramai khususnya di Indera Mahkota,” katanya ketika ditemui di Beserah di sini semalam.

Mat Quek berkata, beliau sudah mula menyantuni masyarakat di sini sejak 2006, ketika mula berkhidmat menjadi pegawai khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu waktu itu, Datuk Pang Tsu Ming.

Jadi, katanya, setakat berkempen sehingga kini, sambutan masyarakat di Indera Mahkota memang baik sama ada Melayu, Cina dan India menerima kehadirannya.

“Tiada masalah untuk masuk ke kampung kerana saya cukup mengenali dan menjaga adab orang Melayu, budaya orang India dan Cina.

“Biarpun saya orang Cina, tapi saya banyak berkawan, jadi tiada isu orang Cina tak boleh masuk orang kampung dan tiada isu tidak boleh terima orang Cina sebagai wakil rakyat mereka.

“Sebab itulah saya tidak mempunyai masalah pergi berkempen di ceruk-ceruk kampung untuk berjumpa pengundi,” katanya yang cukup petah berbahasa Melayu.

Mengulas cabaran debat membabitkan calon Parlimen Indera Mahkota, Tai Seong berkata, beliau tidak mahu membuang masa berdebat dengan lawannya termasuk penyandang kerusi berkenaan, Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang mewakili Perikatan Nasional (PN).

Ini kerana katanya, fokus utamanya ketika ini adalah untuk mencari penyelesaian terhadap masalah-masalah yang berlaku di Indera Mahkota antaranya isu tanah, kebajikan dan menaik taraf infrastruktur seperti jalan raya.

Beliau berkata, penolakan tersebut bukan bermakna beliau takut sebaliknya bersedia untuk melakukannya pada bila-bila masa selepas pilihan raya kelak.

“Saya rasa tidak perlu berdebat kerana saya pun tiada masa. Para pengundi di sini tanya di mana wakil rakyat mereka sekarang tetapi saya tidak mahu jawab isu tersebut kerana mahu fokus berjumpa rakyat terutamanya orang kampung.

“Kalau hendak berdebat, kita lakukanlah dengan orang kampung atau pengundi-pengundi,” katanya.

Pada PRU15 ini, selain Saifuddin, Mat Quek turut berdepan tentangan calon Pakatan Harapan (PH), Zuraidi Ismail dan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Dr. Mohamad Nor Sundari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.