'Amoi' cantik guna surat terbuka untuk kempen di Parlimen Bayan Baru - Utusan Malaysia

‘Amoi’ cantik guna surat terbuka untuk kempen di Parlimen Bayan Baru

CALON BN Parlimen Bayan Baru, Saw Yee Fung menggunakan surat terbuka sebagai bahan kempen untuk memperkenalkan dirinya kepada pengundi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Bayan Baru, Saw Yee Fung, 33, menggunakan surat terbuka sebagai bahan kempen untuk memperkenalkan dirinya kepada para pengundi di kawasan berkenaan.

Yee Fung yang merupakan anak tempatan Pulau Pinang berkata, surat terbuka itu memuatkan semua maklumat peribadi termasuk misi dan visi utama dirinya untuk para pengundi selaku calon BN daripada parti MCA.

“Surat terbuka ini disediakan di dalam empat bahasa iaitu bahasa Melayu, Cina, India dan Inggeris untuk memudahkan masyarakat berbilang bangsa di negeri ini mengenali saya.

‘”Saya akan serahkan surat terbuka ini kepada pengundi-pengundi yang saya jumpa ketika turun padang berkempen termasuk ketika berjumpa mereka di rumah, pasar, medan selera dan sebagainya,'” katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan BN Parlimen Bayan Baru, di Bukit Jambul, di sini hari ini.

Yee Fung bakal berdepan saingan enam penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini bagi merebut kerusi Parlimen Bayan yang sebelum ini dimiliki Pakatan Harapan (PH).

Pada PRU14, penyandang kerusi berkenaan Sim Tze Tzin, menang dengan majoriti 37,751 undi selepas memperoleh keseluruhan 51,555 undi.

Yee Fung yang masih bujang berkata, beliau akan turut memuat naik surat terbuka kepada pengundi Bayan Baru itu menerusi media sosial dalam bentuk video untuk menarik pengundi-pengundi muda.

Dalam pada itu, Yee Fung mengakui cabaran untuk menang di kerusi Parlimen Bayan Baru agak sukar memandangkan dominasi PH selama tiga penggal di kerusi berkenaan.

‘”Saya akan berdepan dengan saingan calon senior daripada parti lain, namun saya ingin menawarkan pembaharuan kepada para pengundi di Bayan Baru.

“Isu dan masalah masyarakat tempatan masih sama sejak dahulu di mana antara masalah yang masih gagal diselesaikan ialah banjir kilat dan masalah kesesakan lalu lintas yang teruk di sini.

“Saya berharap pengundi dapat memberi peluang untuk membolehkan saya berkhidmat kepada mereka nanti,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai penerimaan masyarakat termasuk pengundi Melayu terhadapnya sebagai calon, Yee Fung berkata, beliau mendapati masyarakat Melayu menerimanya dengan baik memandangkan beliau merupakan wakil kepada keluarga Malaysia yang berbilang kaum. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya