SERDANG: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN) komited memperkukuhkan kerajaan sedia ada di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, kerajaan sedia ada hari ini juga adalah gabungan yang melibatkan komponen terbesar PN.
Tegas Azmin, beliau bersama rakan-rakan seperjuangan di dalam Bersatu dan PN mengambil tanggungjawab untuk memastikan kerajaan sedia ada terus kuat bagi menangani isu pengurusan Covid-19 dan pemulihan ekonomi.
“Kerajaan hari ini adalah kerajaan gabungan, ia bukan kerajaan satu parti seperti sebelum ini dan antara gabungan terbesar dalam kerajaan hari ini adalah PN.
“Maka, saya dan rakan-rakan mengatakan bahawa tanggungjawab kita bersama untuk memperkukuhkan kerajaan bermakna kita mahu memperkukuhkan gabungan kerajaan yang sedia ada (ini kerana) kalau kita lemah, maka, kerajaan PN pun lemah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Pemeteraian Kerjasama Strategik anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu mengelak daripada menjawab soalan media mengenai dakwaan dicalonkan sebagai calon Timbalan Perdana Menteri (TPM).
Sebaliknya, Azmin berkata, kerajaan hari ini tidak lagi boleh terjebak dalam politik yang boleh merugikan rakyat.
“Adalah menjadi tanggungjawab saya memastikan kerajaan hari ini kuat supaya kita dapat tangani dua isu tersebut kerana bagi saya kita tidak boleh lagi terjebak dalam politik yang boleh merugikan rakyat.
“Saya mahu politik hari ini sebagai politik ‘action oriented’ yang dapat memberikan khidmat kepada rakyat,” ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan Bersatu menuntut kerusi TPM daripada Ismail Sabri dengan mencalonkan nama Azmin bagi jawatan itu. –UTUSAN ONLINE