PASIR SALAK: UMNO Bahagian Pasir Salak mahu Naib Presiden parti, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kekal menjadi Perdana Menteri sekiranya Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ketua Bahagian UMNO Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, pihaknya memberi jaminan akan terus memberi sokongan padu selain menyokong kepimpinan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.
Menurut Tajuddin, pelbagai tuduhan yang dilemparkan termasuk kenaikan harga barang yang membebankan rakyat menunjukkan seolah-olah Ismail Sabri tidak layak menjadi Perdana Menteri, sedangkan pelbagai usaha telah dilakukan beliau.
“Saya tetap setia dan menyokong Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, meskipun ada sesetengah kata itu ini termasuk beliau lembik sedangkan dalam tempoh tidak sampai setahun menjadi Perdana Menteri, macam-macam beliau buat.
“Selaku wakil rakyat, selagi saya bergelar ketua atau tidak, kita di Pasir Salak, saya akan memberi jaminan untuk memberi sokongan padu untuk beliau (Ismail) menjadi Perdana Menteri,” katanya ketika berucap pada program Kenduri Rakyat sempena Karnival Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Negeri Perak, di Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah di sini hari ini.
Dalam pada itu, Tajuddin menegaskan agar ‘tidak main-main’ dengannya memandangkan beliau mampu mengumpul beribu orang seperti beberapa perhimpunan sebelum ini.
“Perhimpunan Muafakat Nasional, Melayu Bangkit dan himpunan menolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), itu semua kerja saya, lawan tetap lawan,” katanya. – UTUSAN