SABAK BERNAM: UMNO akan mengenal pasti calon heavyweight yang berpotensi besar untuk memenangi kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau bersetuju dengan cadangan veteran parti itu supaya meletakkan calon berkenaan untuk bertanding termasuk di Selangor.
“Kita yakin itu (calon heavyweight) satu kriteria yang benar, tetapi, ia amat subjektif.
“Saya pastinya bersetuju dengan pandangan itu dan kita akan mengenal pasti calon-calon heavyweight nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Santai Mesra NGO Anak Muda Geng 18 Bersama Presiden UMNO di MSekin Wonderland, Sekinchan di sini, petang tadi.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Barisan Nasional (BN) perlu meletakkan calon heavyweight atau yang berada Kabinet untuk bertanding kerusi Parlimen jika parti itu berhasrat menawan kembali Selangor dalam PRU15.
Bekas Menteri Besar, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib dilaporkan berkata, sebanyak 70 peratus calon heavyweight perlu diletakkan di Selangor sementara 30 peratus lagi adalah muka baharu belia.
Cadangan itu turut disambut baik Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Tan Sri Noh Omar yang mengganggap calon berkenaan perlu diberi peluang untuk bertanding.
Calon muda dan mempunyai kredibiliti tinggi seperti Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz boleh diberi peluang menjadi calon bagi memastikan kemenangan BN.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos berkata, cadangan meletakkan calon heavyweight memerlukan kerjasama semua pihak dan kerja kuat akar umbi parti.
“Tokoh pemimpin yang bakal bertanding itu perlu mempunyai nama dan rekod yang bersih.
“Apa yang penting adalah memastikan BN berjaya dirampas semula di Selangor,” katanya. –UTUSAN ONLINE










