Tun M gesa siasat Apandi bersekongkol dengan Jho Low - Utusan Malaysia

Tun M gesa siasat Apandi bersekongkol dengan Jho Low

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menggesa Tan Sri Mohamed Apandi Ali disiasat susulan dakwaan bekas Peguam Negara itu bersekongkol dengan Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, segala dakwaan Apandi bertindak sebagai orang tengah untuk Jho Low dalam menawarkan penyelesaian berkaitan berkaitan kes 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) amatlah mengejutkan dan mencurigakan. 

Katanya, ini kerana pendirian Apandi ketika menjadi Peguam Negara telah menyatakan tidak berlaku sebarang jenayah berkaitan dengan 1MDB dan juga secara langsung mempertahankan jenayah yang dilakukan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan sekutu-sekutunya termasuk Jho Low.

“Kesediaan Jho Low membayar untuk penyelesaian membuktikan bahawa Jho Low mengakui kesalahan. Di sini, timbul kecurigaan bahawa kerjasama Apandi dengan Jho Low bermula semasa dia Peguam Negara.

“Satu siasatan perlu dilakukan terhadap Apandi sama ada dia membuat keputusan menyucikan 1MDB dahulu kerana hubungannya dengan Jho Low. Ini bukan sahaja satu conflict of interest. Lebih dari itu, ia adalah satu jenayah terancang untuk mencuri harta rakyat dan Negara dan ini membabitkan bukan sahaja Najib dan Jho Low tetapi juga Apandi.

“Kerajaan hari ini bertanggungjwab untuk menyiasat kerana terdapat unsur kolusi (collusion) dan subahat (complicity) Apandi di dalam jenayah 1MDB untuk memastikan penyamun-penyamun negara yang terbabit dalam jenayah terancang ini diadili dan dihukum,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Media sebelum ini melaporkan, Jho Low dipercayai menawarkan RM1.5 bilion kepada kerajaan Malaysia untuk menyelesaikan pertuduhan terhadapnya berhubung skandal 1MDB. 

The Edge yang memetik sumber melaporkan, cadangan itu dirunding dengan kerajaan melalui Apandi.

Namun, AGC mengesahkan kerajaan menolak tawaran penyelesaian ahli perniagaan kontroversi itu. 

Menurut Dr. Mahathir, Apandi sepatutnya merasa bersalah dan menyesal kerana pendiriannya menyekat jenayah 1MDB dari dihadap ke mahkamah.

“Hari ini, hakim-hakim mahkamah tinggi dan mahkamah rayuan mendapati perlakuan jenayah tetap berlaku di dalam 1MDB dan menghukum penjara Najib Razak kerana kesalahan-kesalahan berkaitan 1MDB.

“Sekarang, dia sanggup menjadi orang tengah untuk Jho Low mendapat penyelesaian dan diberitakan dengan membayar Kerajaan Malaysia RM1.5 billion. Ini bermakna Jho Low bersalah. Jika tidak bersalah, kenapa menawar wang untuk menyelesaikan tindakan terhadapnya.

“Sekali lagi negara dan rakyat Malaysia ingin dianiayai oleh Apandi dan Jho Low dengan tawaran penyelesaian sejumlah wang yang sebegitu kecil berbanding dengan pencurian wang negara berjumlah puluhan billion ringgit,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.