KUALA TERENGGANU: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membayangkan hasratnya untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, keputusan rasmi mengenai kedudukannya dalam PRU itu bagaimanapun terserah kepada pucuk pimpinan parti.
Katanya, kesihatannya juga semakin baik selepas menghidap kanser sebelum ini.
“Insya-Allah (bertanding PRU-15) kalau pucuk pimpinan beri peluang saya bertanding. Nampak pada tepukan tadi, mengesahkan (saya) boleh bertanding.
“Badan (saya juga) sihat. Dulu kena kanser, doa semua sekali makbul, Allah bagi saya kesihatan,” katanya pada sesi dialog Majlis Pemulihan Negara (MPN) Bersama Belia di sini, hari ini.
Pada PRU-14 lalu, Muhyiddin Yassin yang mewakili Pakatan Harapan ( PH) memenangi kerusi Parlimen Pagoh dengan majoriti 6,927 undi selepas memperoleh sebanyak 23,558 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Ismail Mohamed yang mendapat 16,631 dan calon Pas, Ahmad Nawfal Mahfodz (2,483 undi).
Bagaimanapun, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, beliau juga mungkin bertanding kali terakhir pada penggal ini.
“Selepas itu, berehat sahajalah duduk di rumah dengan isteri, cucu-cucu dan lapan orang anak.” ujarnya.
Semalam, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga membayangkan untuk bertanding semula pada PRU-15.
Bagaimanapun, Dr. Mahathir berkata, hasrat itu hanya akan diteruskan sekiranya mendapat sokongan ahli dan faktor kesihatan yang mengizinkan. –UTUSAN ONLINE