Aminuddin selesa untuk kekal bertanding di Sikamat - Utusan Malaysia

Aminuddin selesa untuk kekal bertanding di Sikamat

AMINUDDIN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengakui beliau lebih selesa untuk terus kekal mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelak.

Naib Presiden PKR itu berkata, bagaimanapun beliau tetap menyerahkan segala keputusan kepada pucuk pimpinan parti bagi menentukan kedudukannya termasuk di Sikamat yang telah dimenanginya sejak 2008.

“Di mana saya bertanding itu ditentukan oleh pucuk pimpinan parti, sama ada bertanding, tidak bertanding, mempertahankan kawasan, atau berada di kawasan baharu.

“Kalau saya diperlukan di Sikamat, saya akan bertanding di Sikamat. Tetapi, saya rasa, saya masih lagi seronok untuk berkhidmat di Sikamat,” katanya kepada pemberita di Pusat Khidmat DUN Sikamat di sini hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada beliau bersedia untuk turut bertanding di kerusi Parlimen, Aminuddin yang juga Ketua Cabang PKR Port Dickson memaklumkan, dia tidak pasti untuk bertanding di dua kerusi.

“Itu saya tidak pasti, jika sekarang ini, agar sukar untuk bertanding di dua kerusi, kita kena pilih salah satu, itu yang saya katakan, (jika diberikan pilihan), saya lagi suka di Sikamat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Aminuddin memaklumkan bahawa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan bersedia untuk pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada PRU15 jika Parlimen dibubarkan selepas bulan Oktober depan seperti diramalkan beberapa pihak.

“Jika bulan Oktober itu sudah sampai ke penghujung (penggal), mungkin tinggal enam bulan sebelum pilihan raya, kalau itu berlaku, saya rasa, kita (Negeri Sembilan) akan ikut sama,” katanya lagi.

Pada Mac lalu, menerusi kenyataan, Majlis Presiden PH membuat keputusan dan menegaskan tiada sebarang cadangan pembubaran DUN di negeri-negeri yang ditadbir gabungan itu sehingga tamat tempoh pada tahun hadapan.

Sebelum itu, Pas juga memutuskan untuk tidak membubarkan DUN Kelantan, Terengganu dan Kedah hingga tamat tempoh ketiga-tiganya sekiranya PRU15 diadakan dalam masa terdekat. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN