BAGAN SERAI: Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman masih mempunyai tanggungjawab terhadap parti walaupun digugurkan daripada ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ini kerana Tajuddin bukan digugurkan daripada parti.
“Dia (Tajuddin) masih lagi ahli UMNO, Ketua Bahagian UMNO Pasir Salak dan Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak.
“Jadi, dia masih lagi mempunyai tanggungjawab untuk memenangkan UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Jadi, tidak timbul soal isu pengguguran beliau dari MKT akan menjejaskan UMNO Perak,” katanya.
Beliau kepada pemberita pada Taklimat Gerak Kerja PRU15 negeri Perak di Dewan Datuk Zainal Abidin Zin di sini hari ini.
Sementara itu, Saarani berkata, tawaran Pas Perak kepada Tajuddin Abdul Rahman untuk bertanding di Parlimen Pasir Salak atas tiket parti Pas, merupakan provokasi murahan.
Beliau berkata, tawaran itu nakal dan boleh menimbulkan suasana yang tidak baik.
“Yang saya dengar, dia (Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria) kata, jika agihan kerusi Perikatan Nasional (PN) Pas diberikan Parlimen Pasir Salak, maka, Pas akan menawarkan Tajuddin untuk bertanding atas tiket PN di Pasir Salak.
“Kenyataan itu telah pun disanggah oleh Pengerusi PN negeri Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
“Bagi saya kenyataan itu adalah kenakalan daripada Pas,” katanya.
Menurut Saarani, pihak lain tidak perlu mencampuri urusan dalaman UMNO.
“Tiada isu yang perlu diperjelaskan tentang perkara itu kerana Tajuddin masih lagi ahli UMNO yang mempunyai tanggungjawab terhadap parti,” katanya. – UTUSAN