Khemah besar buka ruang PH kembali memerintah - Utusan Malaysia

Khemah besar buka ruang PH kembali memerintah

MOHD. SHUKRI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Idea khemah besar hanya membuka ruang kepada parti-parti di dalam Pakatan Harapan (PH) untuk bersama-sama menerajui kerajaan sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sehubungan itu, Pas negeri menyambut baik pendirian Pas pusat yang menolak idea khemah besar dalam menghadapi pilihan raya kelak.

Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Shukri Ramli berkata, idea berkenaan asalnya bertujuan memastikan pertembungan satu lawan satu dalam PRU15.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun, katanya, Pas negeri melihat idea tersebut hanya membuka ruang kepada PH untuk sama-sama menerajui kerajaan sekiranya memenangi pilihan raya nanti.

“Rakyat dan negara sudah pasti tidak lupa betapa perit dan sengsaranya berada di bawah pemerintahan PH selama 22 bulan sebelum ini yang telah melakukan banyak pencabulan terhadap prinsip-prinsip asas yang menjadi tunjang kedaulatan negara serta hak-hak umat Islam dan bumiputera di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kelmarin, media melaporkan, Pas menolak idea khemah besar dengan memfokuskan kepada agenda penyatuan ummah bagi menghadapi PRU15.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah dilaporkan berkata, prinsip parti itu dalam seruan penyatuan ummah adalah jelas.

“Pas berdiri teguh dengan prinsip kerjasama politik yang menguatkan dulu umat Islam, pada masa sama berdiri di satu perikatan dengan parti bukan Islam yang tidak ekstrem dan menjulang prinsip Perlembagaan Persekutuan.

“Kita tidak akan berhenti menyeru seluruh parti Melayu Islam baik UMNO dan Bersatu untuk bersama-sama dalam membina semula negara dan memperkukuhkan umat Islam,” katanya merangkap Timbalan Menteri Besar Kelantan.

Tambah Mohd. Shukri, pihaknya yakin, satu-satunya solusi terbaik bagi menghadapi PRU15 adalah dengan memperkukuh usaha ke arah penyatuan ummah serta bersama dalam perikatan dengan parti bukan Islam yang tidak ekstrem.

“Pas Perlis juga menyokong penuh sebarang usaha parti untuk terus menyeru seluruh parti Melayu Islam baik UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk bersama-sama membina semula negara dan memperkukuhkan umat Islam,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×