Muda belum buat keputusan rasmi konsep Khemah Besar - Utusan Malaysia

Muda belum buat keputusan rasmi konsep Khemah Besar

DR. TEO LEE KEN (kiri) menyaksikan pertukaran MoU antara Parti Muda Pulau Pinang dan ACTnow Sdn. Bhd. di Penang Digital Library, Jalan Masjid Negeri, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) masih belum membuat keputusan rasmi mengenai konsep ‘Khemah Besar’ yang diusulkan Pakatan Harapan (PH) sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Naib Presidennya, Dr. Teo Lee Ken berkata, perbincangan mengenai perkara itu telah dilaksanakan di pelbagai peringkat sebelum ini, namun, tiada sebarang keputusan muktamad mengenainya setakat ini.

“Muda sentiasa memberi sokongan kepada gabungan pembangkang, dan kami terbuka untuk sebarang perbincangan dan peluang yang ada  bersama gabungan pembangkang.

“Bagaimanapun, sehingga kini, tiada keputusan muktamad mengenainya (Khemah Besar) dan perbincangan lanjut berhubung perkara ini akan terus dijalankan,” katanya selepas menghadiri pelancaran kerjasama rasmi antara Actnow dan Muda Pulau Pinang di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Muda Pulau Pinang, Jazz Lee dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo.

ACTnow merupakan aplikasi percuma untuk memelihara dan membela kebajikan orang awam dengan cara yang mudah untuk digunakan bagi menghubungkan masyarakat dengan pihak berkuasa tempatan dalam mengemukakan isu dan masalah tempatan.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub dilaporkan meminta pemimpin pembangkang berjiwa besar dengan memaafkan dan melupakan perkara lalu bagi merealisasikan ‘Khemah Besar’ sebagai persediaan menghadapi PRU-15.

Salahuddin yang juga Naib Presiden PH menyarankan gabungan parti itu membuka pintu rundingan dan perbincangan termasuk kepada Bersatu dan Pas bagi memastikan pembangkang ampuh dalam menghadapi Barisan Nasional (BN).

Lee Ken berkata, sebarang kenyataan rasmi mengenai pendirian Muda mengenai konsep Khemah Besar itu juga akan dikeluarkan oleh Presiden mereka, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Dalam pada itu, beliau berkata, sambutan daripada orang ramai untuk parti Muda di Pulau Pinang juga amat menggalakkan dengan keahlian seramai 3,000 orang setakat ini.

”Sambutan yang diterima amat baik dan Pulau Pinang antara negeri yang kami tumpukan selain Sabah; Wilayah Persekutuan, Selangor dan Johor.

“Sekarang, di peringkat nasional, keahlian Muda telah mencapai sehingga 75,000 orang,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya