Tiada sentimen kenegerian terhadap Warisan - Utusan Malaysia

Tiada sentimen kenegerian terhadap Warisan

MOHAMED RIDZA BUSU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Calon Parti Warisan Sabah (Warisan) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, Mohamed Ridza Busu berpandangan, tidak timbul isu sentimen kenegerian sehingga parti itu tidak mendapat tempat di hati pengundi Johor.

Mohamed Ridza, 54, berkata, ini kerana parti yang lahir dan bermula di Sabah itu merupakan sebuah parti yang berbilang kaum dan sudah melebarkan sayapnya ke Semenanjung sejak tahun lalu.

Justeru, jelas beliau, bukan satu halangan buat Warisan untuk turut mengambil bahagian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini dengan bertanding di enam kerusi.

“Hakikat bahawa Warisan adalah parti politik berasal dari Sabah sudah tidak relevan lagi  kerana Sabah juga adalah salah satu negeri dalam negara sama seperti negeri yang lain.

“Warisan adalah parti untuk semua kaum dan ini adalah tarikan kepada pengundi selain kita mahu membawa pembaharuan politik,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.

Kerusi DUN Permas menyaksikan pertembungan lima penjuru melibatkan Mohamed Ridza, Tazul Arifin Nasri (Perikatan Nasional); Baharudin Mohd Taib (Barisan Nasional); Syed Othman Syed Abdullah (Pakatan Harapan) dan Mahaya Ahad (Parti Pejuang Tanah Air).

Selain DUN Permas, Warisan turut bertanding di Pekan Nenas, Bekok, Mahkota, Johor Jaya dan Bukit Batu.

Dalam pada itu, Mohamed Ridza memberitahu, Warisan akan mencari jalan penyelesaian bagi masalah pencemaran alam sekitar di daerah itu yang sudah berlarutan sejak sekian lama, sekiranya memenangi kerusi itu.

Jelasnya, usaha itu bagi membolehkan penduduk di kawasan Pasir Gudang mendapat kehidupan yang berkualiti, bebas daripada pencemaran dan hidup dengan selamat.

“Saya juga akan cari jalan untuk merapatkan jurang ekonomi di Permas kerana perbezaan antara yang miskin tegar dengan golongan kaya amat jauh.

“Jika berjaya merebut kerusi DUN Permas, Warisan akan menjadi parti pembangkang yang melakukan proses semak dan imbang dengan berkesan dalam kerajaan negeri yang ditubuhkan nanti,” ujarnya.  –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN