PRN Johor: Pengundi Johor positif, mesra dengan calon BN - Khaled - Utusan Malaysia

PRN Johor: Pengundi Johor positif, mesra dengan calon BN – Khaled

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan kempen Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berjalan lancar setakat ini.

Ini selepas kesemua calon diperkenalkan pada hari penamaan calon, Sabtu lalu.

“Hari ini masuk hari ketiga berkempen bagi PRN Johor selepas penamaan calon pada 26 Februari lalu. Setakat ini, mood dan vibe di lapangan sangat baik.

“Masyarakat rata-rata positif dan mesra dengan calon yang ditampilkan. Malah, jentera kempen BN tidak mempunyai masalah untuk mendekati masyarakat bagi mendengar hasrat serta keinginan mereka dalam kerajaan yang bakal dibentuk,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya.

Katanya, ramai yang menzahirkan hasrat serta sokongan agar BN memastikan wujud sebuah kerajaan yang stabil dan tidak akan diugut-ugut dengan butang yang boleh ditekan oleh mana-mana sang pemimpin.

“Mereka mahu kerajaan Johor kali ini kerajaan yang kuat dan mempunyai keabsahan yang jelas dan terhormat. Kerajaan yang ada air muka tersendiri. Yang stabil dan berupaya membawa kestabilan.

“Cuma, kita harus sedar, kestabilan akan hanya wujud apabila formula perkongsian kuasa itu jelas dan diterima dengan penuh toleransi dan permuafakatan. Bukannya dengan persaingan dalaman dan tikam-menikam secara terbuka apatah lagi secara tertutup,” katanya.

Beliau menyifatkan pakatan yang sarat dengan prejudis, dipenuhi gunting dalam lipatan dan api dalam sekam, hanya akan menjadi retak yang menanti belah.

“Diburukkan dengan kehadiran katak-katak politik yang melompat mengikut arus kuasa. Kerajaan akan menjadi tidak stabil. Menguruskan wakil rakyat menjadi keutamaan berbanding menguruskan kerajaan, negeri dan masyarakat,” katanya.

Sebaliknya, beliau menyifatkan, formula perkongsian kuasa BN terbukti berhasil selama 61 tahun.

“Tidak sempurna, tetapi berhasil. Tidak seperti sesetengah pihak. Seawal pra penamaan calon sampailah ke hari ini, tidak berhenti dengan episod bertikam, sudah berpecah dan saling membaling batu sembunyi tangan.

“BN komited membawa kestabilan masa depan. Kestabilan masa depan adalah perkara yang merentasi kaum dan bangsa. BN adalah parti merentas kaum dan bangsa dan BN mahu kekalkan perkara ini. Semoga BN berjaya dalam PRN Johor kali ini, Insya-Allah,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya