PRN Johor: Pas ada strategi menang 15 kerusi ditandingi - Utusan Malaysia

PRN Johor: Pas ada strategi menang 15 kerusi ditandingi

IDRIS AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT GANTANG: Pas mempunyai strategi untuk menang semua 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi parti itu Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, jentera kempen Pas akan bekerja keras untuk memastikan calon parti itu menang di kerusi yang ditandingi pada pengundian 12 Mac ini.

“Pas ada strategi sendiri. Jentera kita sedang bekerja keras di lapangan bagi membolehkan calon-calon Pas yang bertanding mampu menyumbangkan kemenangan dalam PRN Johor,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian bantuan persekolahan di Simpang dekat sini hari ini.

Menurut Idris, parti komponen Perikatan Nasional (PN) yang bertanding pada PRN Johor juga saling bekerjasama bagi memastikan kerusi yang ditandingi dapat dimenangi.

Katanya, jalinan kerjasama antara parti-parti komponen PN juga amat baik di lapangan disamping Pas mempunyai rahsia strategi gerak kerja sendiri.

“Tak bolehlah nak bagi tahu apa rahsia strategi Pas. Kalau beritahu, strategi nanti jadi tragedi,” katanya.

Katanya, Pas akan membuktikan melalui kepimpinan yang prihatin kepada rakyat menerusi kerjasama antara parti PN yang amat baik.

“Strategi sudah diatur untuk menang di Johor. Apabila berlawan, mesti nak menang,” katanya. 

Sebelum ini, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan senarai calon yang akan ditandingi PN pada PRN Johor dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 33 calon, Pas 15 dan Gerakan lapan kerusi. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya