Giliran rakyat tawar manifesto   - Utusan Malaysia

Giliran rakyat tawar manifesto  

BASIR ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sebuah pertubuhan aktivis, Front Rakyat Hakim PRU-15 (Rakyat Hakim PRU-15) mencadangkan manifesto daripada rakyat untuk dipertimbang oleh calon dan parti yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Rakyat Hakim PRU-15, Basir Ismail berkata, manifesto rakyat adalah sebuah dokumen politik rakyat kepada calon dan parti politik atau jajaran parti politik yang akan bertanding kelak.

“PRU-15 bukan lagi era rakyat kena akur dengan janji-janji bersifat unilateral iaitu sebelah pihak iaitu calon dan parti politik atau jajaran parti politik yang bertanding semata-mata. 

“Pengalaman rakyat dalam PRU-14 membuktikan manifesto parti politik tersebut hanyalah janji-janji kosong semata-mata dan mengecewakan rakyat Malaysia. 

“Di samping ia menjadi bahan mainan dalam kalangan rakyat. Kerajaan yang gagal mengotakan janji-janji dalam pilihan raya ialah kerajaan yang gagal, moral rendah dan tidak bertanggung jawab,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau menambah, manifesto rakyat akan menjadi salah satu syarat mutlak dan kuasa tawar-menawar daripada pengundi merentas geografi, ideologi, kaum dan agama kepada calon yang akan bertanding.

Malah, katanya, manifesto rakyat itu akan dijadikan parameter rakyat Malaysia khususnya rakyat tidak berparti, orang muda dan rakyat muak kepada parti politik untuk membuat penilaian dan sekali gus mengambil pendirian muktamad memilih salah satu daripada calon serta dan parti politik atau jajaran parti politik.

Jelasnya, antara manifesto rakyat yang dicadangkan adalah, rakyat menuntut agar parti politik atau jajaran politik bertanding terlebih dahulu menamakan seorang bakal Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan ahli-ahli jemaah menterinya supaya mereka diketahui oleh rakyat Malaysia. 

“Perkara ini perlu dilakukan sekurang-kurangnya 14 hari sebelum tarikh pembuangan undi sepenuhnya dijalankan pada PRU-15. Selain itu, parti politik atau jajaran politik bertanding hendaklah menyatakan dengan jelas jumlah dan jenis kementerian-kementerian yang diwujudkan di bawah kerajaannya,” ujarnya.

Selain itu, katanya, manifesto lain adalah calon-calon bertanding perlu membuat pengisytiharan harta kepada rakyat di kawasan mereka bertanding.  -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN