Enam hantaran FB jadi tanda tanya luahan hati Mohd. Khairuddin

Enam hantaran FB jadi tanda tanya luahan hati Mohd. Khairuddin

MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Enam hantaran dibuat Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali secara berturut-turut dalam laman Facebook miliknya malam tadi seolah-olah menggambarkan luahan hatinya berhubung pengguguran sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama.

Dalam hantaran pertama, Mohd. Khairuddin menyentuh mengenai kewujudan ‘Little Napoleon’ yang boleh merosakkan organisasi  sekali gus menyeru pelaksanaan amalan syura dan perbincangan mengikut kaedah-kaedah yang diperuntukkan.

Seterusnya, beliau berkata, tindakan berbohong atau memfitnah seseorang merupakan dosa besar walaupun dilakukan oleh golongan agamawan sekali gus mengingatkan mana-mana individu agar tidak selamanya merasakan diri mereka maksum tanpa dosa atau kesalahan.

Hantaran ketiga Mohd. Khairuddin pula menekankan setiap kemungkaran termasuk dalam organisasi perlu ditegur dan tidak wajar dibiarkan semata-mata kerana malu atau hormat kepada pemimpin.

Luahan hati itu diteruskan dengan hantaran yang mengingatkan untuk tidak memalukan seseorang secara berulang kali.

Sekali mungkin dia berdiam dan bersabar, tetapi, tidak selamanya akan berdiam apabila maruah dicemari dan diceroboh secara berulang. Setiap perkara itu ada batasnya, jangan melampaui batas kerana akibatnya sangat buruk,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang hari ini mengesahkan pengguguran Mohd. Khairuddin sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama berkuat kuasa semalam susulan isu-isu disiplin melibatkan pemimpin itu.

Sementara itu, Mohd. Khairuddin berkata, setiap pemberitaan mesti diselidik dan usah melulu membuat kesimpulan daripada khabar-khabar angin kerana perbuatan itu menzalimi maruah seseorang.

Manakala dalam hantaran terakhir, beliau menitipkan ucapan orang beriman apabila ditimpa musibah.

Setiap daripada kita tentu sahaja pernah berdepan pelbagai musibah dalam hidup, maka berzikirlah kerana zikir menggambarkan penyerahan diri kepada Allah,” katanya.

Usaha Utusan Malaysia untuk mendapatkan maklum balas Mohd. Khairuddin bagaimanapun gagal. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN