UMNO sedia bantu jentera Johor hadapi PRN - Utusan Malaysia

UMNO sedia bantu jentera Johor hadapi PRN

AHMAD Maslan dalam sidang akhbar di Pejabat Perhubungan UMNO Johor, Jalan Yahya Awal di Johor Bahru. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: UMNO Pusat bersedia untuk membantu jentera parti di Johor dari pelbagai sudut jika Pilihan Raya Negeri (PRN) berlaku dalam masa terdekat.

Setiausaha UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pihaknya bersedia untuk menghantar bantuan dari negeri-negeri lain bagi membantu proses PRN berlangsung sekiranya ia benar-benar berlaku.

Dalam pada itu, katanya, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan dijangka berada di negeri ini pada Selasa dan Rabu ini jika PRN dijadualkan berlaku.

“Di peringkat pusat, kita bersedia menghadapi apa juga kemungkinan sebagaimana yang berlaku di PRN Melaka. Kita akan laksanakan bantuan dari negeri angkat jika PRN Johor berlaku.

“Selaku Setiausaha Agung UMNO mewakili UMNO Pusat, kami akan buat persiapan sewajarnya. Dari segi urusan teknikal (penentuan tarikh), jadi atau tidak, kita akan serahkan kepada Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Perhubungan UMNO Johor, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Perhubungan UMNO Negeri yang dipengerusikan oleh Hasni.

Antara yang dilihat hadir sebelum itu termasuk Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Setiausaha UMNO Johor yang juga Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam, Datuk Samsolbari Jamali dan Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Terdahulu, Hasni memaklumkan beliau sudah mendapat persetujuan Badan Perhubungan UMNO Johor untuk mengadakan pilihan raya tidak lama lagi dan akan menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berhubung perkara itu.

Sementara itu, ditanya mengenai kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang memberi bayangan parti itu sedia bekerjasama dengan UMNO, Ahmad berkata, UMNO Pusat belum menerima permintaan secara rasmi daripada Pas.

Ahmad berkata, setakat ini, UMNO Pusat masih berpegang kepada keputusan yang dibuat pada PRN di Melaka apabila bertanding bersendirian menggunakan logo sendiri tanpa sokongan parti lain.

“Pendirian UMNO kekal, setakat ini, belum ada sebarang keputusan dan tidak ada permintaan secara rasmi daripada Pas. Kita melihat apa yang berlaku di Melaka, itulah yang akan dilakukan di Johor.

“Jika PRN berlaku, pastinya kita akan bertanding, bagaimana kaedah pertandingan itu, kita masih ada masa lagi nak bincangkan,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya