UMNO perlu adakan kongres khas Melayu sebelum PRU-15 - Veteran - Utusan Malaysia

UMNO perlu adakan kongres khas Melayu sebelum PRU-15 – Veteran

MOHD. YUSSOF LATIFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO diminta supaya menganjurkan satu kongres khas dengan persatuan-persatuan (NGO) Melayu di seluruh negara bagi mendapatkan semula sokongan orang Melayu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang akan datang.

Pemimpin veteran UMNO, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, melalui kongres itu, para pemimpin UMNO dapat mendengar sendiri suara hati NGO-NGO yang mewakili orang Melayu dan menerima cadangan, pandangan, teguran dan kritikan daripada orang Melayu secara keseluruhannya.

“Jika UMNO mahukan sokongan padu orang Melayu, UMNO harus bersikap terbuka dan pemimpinnya harus berjiwa besar untuk menerima teguran, kritikan dan pandangan dalam kongres itu demi kepentingan agama, bangsa dan negara serta kemakmuran, kesejahteran dan kebahagian seluruh rakyat Malaysia.

“Para pemimpin UMNO haruslah bersikap terbuka dan hapuskan sikap warlord dalam parti kerana masih ramai orang-orang Melayu yang tidak menyertai mana-mana parti-parti politik masih sayang dan masih menyokong UMNO seandainya para pemimpin UMNO bersungguh-sungguh serta ikhlas menunjukkan perubahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menganggap UMNO sudah mula tergelincir dari landasan perjuangan asalnya sejak 1988 apabila pemimpinnya membiarkan parti itu diharamkan oleh mahkamah bagi menubuhkan UMNO Baharu yang berniat menjadikan UMNO dimiliki oleh mereka sendiri.

“Imej UMNO kemudiannya menjadi bertambah buruk apabila beberapa pemimpinnya pula terpalit dengan isu penyelewengan dan rasuah dan seterusnya UMNO dianggap bukan lagi dikuasai oleh akar umbi UMNO tapi dikuasai oleh pemimpin-pemimpinnya dengan bermula mengamalkan politik wang.

“Disebabkan itu, saya percaya UMNO kini memerlukan suntikan semangat perjuangan asal penubuhannya pada tahun 1946 supaya UMNO muncul kembali sebagai juara dalam perjuangannya untuk agama, bangsa dan negara,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa UMNO diasaskan dan ditubuhkan hasil Kongres Kebangkitan Bangsa Melayu menerusi kehadiran 41 buah pertubuhan-pertubuhan Melayu termasuk perwakilan pelajar di seluruh negara pada tahun 1946.

Katanya, sejarah membuktikan perpaduan Melayu pada masa itu berjaya menguburkan gagasan Malayan Union dan mengekalkan kembali kedaulatan Raja-Raja Melayu selain berjaya membentuk Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948 sehingga akhirnya membawa kepada kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957.

“Sehubungan itu, saya mencadangkan UMNO amat wajar berusaha bagi menganjurkan semula kongres khas dengan semua NGO-NGO Melayu sebagai usaha menyediakan platform untuk berinteraksi dengan masyarakat Melayu secara keseluruhannya dengan hasrat bagi memperbaiki segala kelemahan yang sedang dihadapi.

“Para pemimpin UMNO harus hentikan sikap “kita lebih tahu” kerana keputusan PRU-14 telah memberi isyarat yang jelas bahawa “rakyat lebih tahu”.

“Andainya UMNO mahu kembali mentadbir negara bersama Barisan Nasional (BN), para pemimpinnya harus membuktikan sikap keterbukaan, berintegriti, jujur dan amanah dengan tidak lagi pentingkan diri untuk mengaut kekayaan peribadi,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya