PETALING JAYA : Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengarahkan peguamnya untuk memulakan proses saman fitnah terhadap Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad dan pembantu Tun Dr Mahathir Mohamad, Adam Mukhriz Mohd. Muhayeddin berhubung status Facebook ‘Selamat Tinggal’.
Menurut Najib, beliau akan berbuat demikian sekiranya kedua-dua individu tersebut tidak memadam satu status yang kononnya dikeluarkannya dan memohon maaf secara terbuka pada hari ini.
“Pembantu Atuk (Dr. Mahathir) Adam Mukhriz ini akan disaman juga sebab Ahli Parlimen PH itu beri alasan dia petik posting dia dari Tweet Adam. Sukar untuk percaya bahawa pada masa Atuk sakit, mereka masih mampu mainkan fitnah sebegini hanya sebab nak politik,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Jelas Najib, selain menafikan berbuat demikian, beliau telah mengarahkan kedua-dua individu untuk membuktikannya mengeluarkan status berkenaan.
“Lalu, mereka suruh saya tunjuk aktiviti log Facebook saya untuk buktikan saya tak post ‘Selamat Jalan’, saya tunjukkan. Tapi, mereka masih tak mahu minta maaf.
“Ada yang kata aktiviti log boleh edit. Tak mahu percaya. Pelik, aktiviti log boleh edit tapi screenshot tak boleh edit ke? Sebab itu, saya saman kedua-dua supaya peguam saya boleh tunjukkan aktiviti log original kepada mereka dalam mahkamah bagi memuaskan hati mereka.
“Sebarang pampasan yang diterima akan saya beri sebagai bantuan kepada rakyat,” katanya. -UTUSAN ONLINE










