PKR akan bincang isu PRN Johor - Utusan Malaysia

PKR akan bincang isu PRN Johor

AMIRUDIN SHARI (tengah) menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Johor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan membangkitkan mengenai kemungkinan pilihan raya negeri (PRN) Johor diadakan dalam masa terdekat pada pertemuan di peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Khamis ini. 

Ahli Jawatankuasa Pusat PKR, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, walaupun desas-desus mengenai PRN Johor semakin bertiup kencang, namun, PKR masih belum lagi mengadakan perbincangan mengenainya. 

Beliau yang juga Menteri Besar Selangor berkata, PKR perlu melihat situasi itu secara menyeluruh dari aspek potensi, ruang dan peluang selain mendapatkan maklumat terperinci daripada PKR negeri. 

“Sebelum ini, timbul cerita dan khabar PRN yang tak pasti kesahihannya. Sebagai parti politik, kita kena bersiap sedia supaya tidak terperangkap dalam situasi tak sepatutnya walaupun secara asasnya keadaan tidak begitu sesuai untuk diadakan PRN.

“Saya tahu ini disebabkan pergolakan dalaman yang tak ada kena mengena dengan kita dan beranggapan langkah ini (mengadakan PRN) tidak wajar di saat masih berada dalam keadaan pandemik dan baru selesai diuji bencana banjir.

“Ini adalah permainan politik mereka yang mahukan supaya PRN diadakan. Tak pasti sejauh mana ia betul (PRN diadakan), PKR Negeri Johor dan Pusat perlu bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan bakul makanan kepada mangsa banjir yang terkesan di negeri ini, di Persiaran Medini, di sini hari ini. 

Ditanya mengenai kesan kepada Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai sekiranya PRN Johor tetap dilaksanakan, Amirudin memberitahu, perkara tidak pernah dibangkitkan sebelum ini dan parti belum membuat keputusan mengenainya.

Beliau berkata, formula MoU itu boleh dilihat semula atau formula ‘unity government’ boleh diwujudkan bagi menyelesaikan persoalan ketidakstabilan politik serta menetapkan semula pemulihan ekonomi negara.

“Bagi saya, Johor sejak daripada Langkah Sheraton telah menjadi kerajaan dengan hanya dua majoriti sahaja. Dengan pemergian Datuk Osman Sapian, ia berubah menjadi satu dan tidak ada perbezaan sangat, sama tipis sahaja. Ini bermakna ada yang nak ambil kesempatan dalam keadaan ini. 

“Saya berpaksikan kepada pandangan Datuk Seri Anwar Ibrahim, minggu lalu iaitu tak sesuai PRU diadakan dalam masa terdekat, pandangan itu dikongsi dalam konteks PRN. 

“Ini kerana ia akan menelan belanja yang besar, tidak berjalan dalam suasana kondusif, kehadiran keluar mengundi yang rendah, kaedah kempen yang terhad serta berlaku proses tidak menggalakkan dalam suasana demokratik,” ujarnya. 

Katanya, semua parti politik perlu duduk semeja berbincang mengenai perkara ini demi kepentingan semua pihak.

“Mentang-mentang sekarang ini mungkin (sokongan) berpihak kepada sesuatu pihak, jadi mereka nak ambil tindakan. Mereka perlu Adil dan gentleman dalam berpolitik ini,” katanya.  -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN