JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) Johor dilihat masih belum bersedia sepenuhnya dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor apabila sehingga kini masih mengelak untuk bertemu dengan petugas media.
Walaupun difahamkan mereka sedang mengadakan mesyuarat negeri di pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng, namun, tiada pertemuan dengan media diatur.
Ketika Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasir Nasrullah dan Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse meninggalkan pejabat berkenaan, mereka kelihatan bergegas dengan memberitahu media mereka sedang berhenti rehat untuk pergi minum.
Wee Tse yang dihampiri media hanya memberikan isyarat ‘time break’ dengan menggunakan tangannya, namun, enggan bertemu media. Mereka bagaimanapun dilihat kembali semula ke pejabat berkenaan selepas beberapa minit.
Sementara itu, seorang sumber memaklumkan pertemuan itu telah berlangsung sejak pukul 10.30 pagi dan melibatkan kepemimpinan ketiga-tiga parti komponen PH Johor iaitu DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah).
Petugas media yang mula berkumpul di pekarangan pejabat berkenaan dari pukul 11 pagi itu hanya dimaklumkan tiada sidang akhbar akan dibuat selepas kira-kira dua jam berada di sana.
Walaupun tidak dimaklumkan berhubung intipati mesyuarat berkenaan, ia dipercayai membincangkan mengenai pelaksanaan PRN Johor termasuk soal pengagihan kerusi.
Kelmarin, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor selepas menerima mengadap Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad. -UTUSAN ONLINE