KUCHING: Pengundi diingatkan untuk tidak membazirkan undi mereka kepada parti politik pembangkang selain Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 bermula 18 Disember ini.
Pengerusi PH Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, pengundi perlu fokus kepada gabungan itu kerana undi yang memihak kepada parti-parti kecil lain hanya memecahkan pola undian sekaligus memberi kelebihan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menerajui kerajaan negeri.
“Ada banyak yang disebut sebagai parti pembangkang bertanding pada pilihan raya negeri, malah, di beberapa kawasan ada sekurang-kurangnya menyaksikan saingan empat hingga lima penjuru.
“Keadaan ini agak mengelirukan pengundi untuk menyokong gabungan kami sebagai pembangkang sebenar dan asli. Kami sudah tertubuh lama, mempunyai sejarah tersendiri dan sudah melalui siri pilihan raya,” katanya semasa sidang media solidariti bersama calon-calon parti komponen PH.
Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Pengerusi Amanah Negara (Amanah) Sarawak, Abang Abdul Halil Abang Naili dan beberapa calon Dewan Undangan Negeri (DUN) DAP, PKR dan Amanah.
PRN Sarawak menyaksikan seramai 349 kertas penamaan layak bertanding melibatkan GPS sebanyak 82 kerusi, DAP di 26 kerusi DUN, PKR di 28 kerusi, Amanah bertanding lapan kerusi, Parti Bumi Kenyalang (PBK) di 73 kerusi, Parti Sarawak Bersatu (PSB) di 70 kerusi Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) di 15 kerusi, Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) bertanding 11 kerusi, Parti Sedar Rakyat Sarawak (SEDAR) di lima kerusi, Pas (satu kerusi) dan Bebas di 30 kerusi.
Mengulas lanjut, Chieng Jen yang akan bertanding di DUN Padungan menafikan dakwaan Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof semalam bahawa PH tidak melakukan sebarang pembangunan dan kemajuan dalam tempoh 22 bulan pentadbirannya.
Katanya, dalam tempoh itu, partinya sudah pun memansuhkan cukai jualan dan perkhidmatan (GST) dan menurunkan kadar inflasi sebagai usaha mereformasikan negara akibat ‘kerosakan’ yang dilakukan kerajaan terdahulu.
Hal itu termasuk dakwaan bahawa PH telah membatalkan dan menarik semula pelbagai projek pembangunan di Sarawak.
“Ini tipu, agihan pembangunan di Sarawak bukannya kurang malah meningkat terutama bagi projek Lebuhraya Pan Borneo. Yang kami tamatkan hanya rakan pelaksana projek (PDP).
“Sudah tentu Fadilah kurang senang tentang hal ini kerana rakan pelaksana projek mempunyai hubungan perniagaan dengan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB),” katanya.
-UTUSAN ONLINE