PRN Sarawak: BN yakin kemampuan jentera GPS - Utusan Malaysia

PRN Sarawak: BN yakin kemampuan jentera GPS

ZAMBRY ABD. KADIR (kiri) berbual dengan seorang veteran Paskal TLDM pada Mesyuarat Agung Tahunan Veteran Paskal di Lumut hari ini. - UTUSAN/MOHAMAD HAFIZI MOHD. SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Barisan Nasional (BN) yakin terhadap kemampuan jentera kempen Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, berikutan itu, BN tidak menghantar jenteranya bagi membantu GPS sepanjang kempen PRN di negeri itu.

Zambry berkata, bagaimanapun,  BN sentiasa bersiap sedia dan mengalu-alukan pelawaan GPS sekiranya khidmat BN diperlukan bagi membantu dalam PRN kali ini.

“Melihat dari segi kapasiti dan kemampuan yang ada di pihak GPS sendiri, saya yakin mereka mempunyai kemampuan yang mencukupi.

“Sudah tentulah di pihak kami sedia untuk memberikan sebarang bantuan kepada pihak GPS sekiranya diperlukan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Veteran Pasukan Khas Laut (Paskal) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Hotel Orient Star di sini hari ini.

Menurut Zambry, meskipun GPS tidak lagi berada dalam BN, kedua-dua parti masih lagi saling menghormati sesama sendiri dan ia akan terus dipertahankan.

“Oleh sebab itu, dua minggu lalu kami mengadakan perjumpaan dan lawatan sebagai tanda hormat kami kepada GPS di samping memaklumkan BN tidak akan bertanding kali ini.

“Dalam pertemuan itu, kita dapat adakan perbincangan dalam suasana yang baik dan penuh harmoni dan kita sebenarnya datang bukan untuk menyatakan hasrat bertanding tetap memberi sokongan kepada GPS,” katanya.

Sebelum ini, BN mengumumkan tidak membenarkan mana-mana pihak menggunakan lambang dacing yang sinonim dengan BN pada PRN Sarawak pada 18 Disember ini.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, BN akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekiranya terdapat parti politik atau individu menggunakan lambang berkenaan.

Sebelum itu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan parti itu tidak bertanding dalam PRN Sarawak kali ini dan akan membantu GPS dalam pilihan raya negeri berkenaan. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN