PETALING JAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid menyifatkan pihak yang berusaha untuk menidakkan kebenaran dengan memanipulasi agama adalah lebih teruk berbanding mereka yang tunduk kepada kebatilan.
Tanpa menjelaskan pihak tersebut, beliau berkata, perjuangan untuk menegakkan kebenaran penuh dengan onak dan duri, namun, tidak mengapa kerana itu adalah ujian.
Beliau berkata, langkah menegakkan kebenaran bertambah ranjau tatkala kebatilan sentiasa merancang untuk menyekat.
Katanya, kebatilan yang licik mengatur serta menyusun agenda dan naratif menggunakan segala tipu muslihatnya.
“Kerana itu tidak semua sanggup menentang kebatilan, memilih untuk tunduk disebabkan tahu lara dan likunya.
“Meskipun begitu, yang tunduk tidaklah lebih teruk berbanding yang menawarkan diri jadi alat menidakkan kebenaran.
“Apatah lagi sanggup memanipulasi agama mengelirukan antara kebatilan dan kebenaran demi menghalalkan kehendak,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, beliau tidak menolak perjuangan menegakkan kebenaran pasti beroleh keberkatan kerana kezaliman harus ditewaskan.
“Biar apa pakatan cuba menafikan kebenaran, kepada Allah jua kita berdoa dan berserah memohon pertolongan.
“Biar apa ikatan mahu menenggelamkan kebenaran, perjuangan menegakkan yang benar akan tetap diteruskan untuk ditegakkan,” ujarnya.
Justeru, beliau berkata, kepada sahabat dan rakan yang tidak pernah tunduk serta gentar kepada kebatilan dan kezaliman, janganlah bimbang.
“Insya Allah, yakinlah dengan apa yang terkini kita saksikan seharusnya menjadi azimat penguat semangat meneruskan perjuangan.
“Kini kita ada sebab dan tujuan yang lebih jelas lagi meyakinkan perjuangan ini sebuah perjuangan yang luhur,” jelasnya.
Dalam hantaran sama, Ahmad Zahid turut memuat naik gambar yang mempunyai ucapannya.
“Muafakat biarlah membawa kebaikan kepada semua, bukan untuk dimanipulasi oleh yang berdendam kesumat ke atas UMNO,” -UTUSAN ONLINE