KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak menolak kemungkinan wujudnya persefahaman untuk memberi laluan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertanding kerusi Parlimen Saratok dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, permintaan Datuk Ali Biju yang mahu mempertahankan Saratok setelah ‘mengorbankan’ kerusi Krian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini, akan dibincangkan lebih lanjut oleh kepimpinan tertinggi antara kedua-dua parti.
“Apa yang diminta oleh Ali bergantung kepada keputusan pucuk pimpinan GPS dan Bersatu. Terpulang kepada kedua-dua parti untuk membincangkannya,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri program di Jalan Lanang hari ini.
Bagaimanapun, Alexander yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengucapkan terima kasih kepada Ali kerana menarik diri daripada bertanding sebagai calon Bebas di Krian.
“Tindakannya itu menunjukkan semangat setiakawan dalam persahabatan antara Bersatu dan GPS,” katanya.-UTUSAN ONLINE