PONTIAN: Kabinet Keluarga Malaysia perlu dinilai secara berterusan sekurang-kurangnya sehingga setahun bagi memastikan mereka mampu menggalas tanggungjawab yang diberikan dengan berkesan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, penilaian indeks prestasi utama (KPI) berdasarkan 100 hari sahaja tidak mencukupi kerana terlalu awal untuk menilai Jemaah Menteri yang dilantik.
Katanya, banyak perkara serta bidang yang perlu diberikan perhatian oleh menteri dan timbalan mereka terutama bagi membantu rakyat yang masih terkesan pandemik Covid-19.
Menurut beliau, ada rasionalnya jika KPI dinilai bagi tempoh 100 hari kedua dan 100 hari ketiga supaya semua capaian yang telah dilaksanakan mengambil kira keperluan rakyat ketika ini.
“UMNO berharap menteri dan timbalan menteri tidak merasa selesa dan puas hati dengan pencapaian kementerian masing-masing sebaliknya terus berusaha meyakinkan rakyat pada hari ini.
“Rakyat amat mengharap Kabinet yang dilantik mampu memberi kelegaan kepada mereka terutama isu kenaikan harga barang yang membebankan kehidupan mereka,” katanya selepas meninjau Mesyuarat Perwakilan Puteri UMNO Bahagian Pontian, hari ini.
Terdahulu, Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd. Sumali Reduan merangkap Naib Ketua UMNO Bahagian Pontian merasmikan mesyuarat perwakilan tersebut.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan prestasi kerja Jemaah Menteri mencapai sekitar 90 peratus dan berikrar untuk mendengar lebih banyak pandangan dan keluhan rakyat.
Tambah Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian, tiada istilah ‘bulan madu’ bagi kabinet yang dibentuk pada 27 Ogos lalu sebaliknya perlu terus bekerja keras demi membantu rakyat ketika ini.
“Selepas ini tumpuan harus diberikan bagi memulihkan ekonomi yang memerlukan tindakan pantas dan cepat bagi memastikan rakyat kembali menikmati kehidupan mereka semula,” ujarnya.
Mengenai Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian-Bahagian UMNO yang diadakan hari ini dan esok, Ahmad berharap proses itu berjalan lancar serta mematuhi SOP yang ditetapkan.
Katanya, walaupun hanya diadakan selama dua hari, UMNO yakin persidangan bagi sayap-sayap parti itu dapat diselesaikan bagi membolehkan bahagian-bahagian UMNO bersidang pada minggu depan. -UTUSAN ONLINE