Orang Sarawak berhak tahu bayaran Petronas - Soon Koh - Utusan Malaysia

Orang Sarawak berhak tahu bayaran Petronas – Soon Koh

Wong Soon Koh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Presiden Parti Bersatu Sarawak (PSB), Datuk Seri Wong Soon Koh yang menang kes saman fitnah difailkan kerajaan negeri Sarawak bersedia menghadapi sebarang kemungkinan jika pihak plaintif mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini.

Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan itu berkata, keadaan itu tidak akan menghalangnya sebagai pembangkang untuk bercakap, malah akan terus berjuang mewakili rakyat Sarawak.

Katanya, beliau mahu kerajaan negeri bertindak secara telus dan melalui prosedur yang betul mengenai sesuatu dasar atau keputusan.

“Rakyat Sarawak berhak untuk tahu apa yang berlaku. Kerajaan tidak seharusnya melakukan sesuatu mengikut kehendak mereka terutama membabitkan dasar-dasar utama melibatkan kepentingan awam.

“Apa yang saya cuba suarakan tidak hanya menjejaskan kepentingan rakyat Sarawak tetapi juga generasi akan datang,” katanya memetik akhbar tempatan hari ini.

Mahkamah Tinggi di sini semalam menolak saman fitnah difailkan Kerajaan Sarawak terhadap Soon Koh mengenai isu Cukai Jualan Negeri (SST) melibatkan Petronas.

Pesuruhjaya Kehakiman, Christopher Chin membuat keputusan itu selepas mendapati, bukti dalam perbicaraan jelas menunjukkan bahawa pembuat keputusan dalam rundingan dengan Petronas bukan seluruh kerajaan negeri tetapi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) melalui Pejabat Ketua Menteri Sarawak.

Chin dilaporkan berkata, tiada locus standi dalam kes tersebut dan pihak yang terkesan dengan kata-kata fitnah daripada pihak defendan adalah MMKN dan bukan seluruh kerajaan negeri Sarawak (plaintif).

Kerajaan Negeri Sarawak memfailkan saman terhadap Soon Koh menuntut ganti rugi RM5 juta kerana mendakwa beliau telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah pada 9 Mei lalu mengenai perjanjian bersama ditandatangani antara kerajaan negeri dan Petronas pada 9 Mei 2020.

Bekas Menteri Kewangan II Sarawak itu mempersoalkan bayaran RM2 bilion oleh Petronas kepada kerajaan negeri sedangkan ketua menteri ketika membentangkan bajet negeri mengatakan Petronas harus membayar RM3.8 bilion.

Soon Koh turut mempersoalkan tindakan kerajaan memperakui Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 berbanding dengan pendirian sebelum ini, yang memberi kuasa kepada Petronas dalam mengawal selia pembangunan industri minyak dan gas di seluruh negara termasuk di Sarawak. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN