ISKANDAR PUTERI: Blok pembangkang sepakat menolak pelawaan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad yang mencadangkan agar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) menjadi pemerhati dalam Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD).
Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tsee berkata, keputusan sebulat suara itu dicapai pada mesyuarat PH Johor yang dipengerusikan Ketua Pembangkang Johor, Aminolhuda Hassan selepas pembentangan Belanjawan Johor 2022, Khamis lalu.
Wee Tse yang juga Bendahari PH Johor berkata, tawaran Hasni itu disifatkan tidak adil memandangkan mereka adalah wakil rakyat yang dipilih untuk menyuarakan pandangan dan masalah di kawasan masing-masing.
“Sekiranya ADUN pembangkang hanya dijemput sebagai pemerhati, hanya duduk dan dengar sahaja dalam JTPD, maka, kita akan tolak tawaran Menteri Besar.
“Hanya sekadar dibenarkan datang, duduk, dengar dan balik, itu memang kita tolak. PH Johor desak diberikan taraf ahli ‘ex officio’ supaya ADUN pembangkang dapat beri pandangan dan meminta penjelasan berkaitan isu di kawasan masing-masing dalam JTPD,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Sidang Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14 di sini, hari ini.
Khamis lalu, Hasni mengumumkan bahawa kerajaan Johor bersetuju untuk menjemput ADUN pembangkang untuk menyertai JTPD sebagai pemerhati sebagai maklum balas kepada permintaan mereka untuk terbabit sama di dalam jawatan kuasa berkenaan sebelum ini.
Jimmy Puah berkata, Aminolhuda yang juga Pengerusi PH negeri sudah menyampaikan keputusan sebulat suara gabungan berkenaan kepada Hasni.
Tambah beliau, ADUN Jementah, Tan Chen Choon pula akan membawa usul mengenai isu terbabit pada sesi penggulungan Belanjawan Johor 2022, Ahad ini.
Ditanya sama ada isu itu akan menyebabkan pembangkang Johor tidak akan memberikan sokongan terhadap undian Belanjawan 2022, Jimmy yang juga ADUN Bukit Batu memberitahu, PH Johor menunggu maklum balas Hasni ketika menggulung belanjawan berkenaan.
“Johor mempunyai jumlah ADUN kerajaan dan pembangkang yang tipis iaitu 29 dan 27 kerusi dengan Hasni sebagai Menteri Besar diharap dapat meneruskan politik matang demi kebaikan masyarakat.
“Jika Menteri Besar benarkan ADUN pembangkang sertai JTPD sebagai ahli ‘ex officio’, PH Johor akan menarik semula usul mengenai isu ini. Soal menyelesaikan isu rakyat, kita akan bertegas,” katanya. -UTUSAN ONLINE










