MELAKA: Polis membuka kertas siasatan berhubung gambar tular dalam laman sosial membabitkan bungkusan makanan yang diselitkan wang tunai RM50, didakwa berunsurkan politik untuk meraih undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisoner Azlan Abu berkata, gambar tersebut telah dimuat naik semalam dan tular selepas bungkusan makanan berserta duit itu didakwa berlaku di Melaka.
“Gambar tersebut telah dimuat naik oleh beberapa akaun media sosial Facebook yang menunjukkan terdapat beberapa makanan telah diselitkan wang tunai RM50.
“Turut disertakan kapsyen gambar yang mengatakan bahawa kejadian itu berlaku di Melaka dan komen-komen mendakwa program itu berunsurkan politik bagi tujuan meraih undi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, susulan itu polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Hasil semakan pihak polis terdapat satu klip video berkenaan kejadian itu menunjukkan agihan bantuan makanan dan wang tunai RM50 kepada warga emas.
“Bagaimanapun, dalam klip tersebut, kita tidak mengesan sebarang aktiviti meraih undi atau apa-apa lambang atau elemen parti politik,” jelasnya.
Tambahnya lagi, sejak 25 Oktober lalu sehingga semalam, pihaknya telah membuka sebanyak 16 kertas siasatan dan lima kompaun pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan membabitkan PRN. -UTUSAN ONLINE










