SEREMBAN: Kerajaan perlu membentang dan meluluskan segera akta anti lompat parti bagi mengelak tindakan lompat parti dalam kalangan ahli Parlimen dan ahli dewan undangan negeri (ADUN).
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, undang-undang itu juga perlu digubal secara teratur dan menyeluruh terhadap ahli Parlimen dan ADUN.
“Sekiranya kerajaan tidak menyediakan akta anti lompat parti perkara ini terus berulang, saya berharap kerajaan dapat menyegerakan akta tersebut supaya perkara seperti ini dapat dielakkan lebih awal lagi.
“Bagaimanapun, apa yang terjadi hari ini dalam negara demokrasi, ia dibenarkan. Ini kali kedua kerajaan negeri Melaka tumbang. Jika ia atas kepentingan rakyat, saya harap ada kebaikan untuk rakyat,” katanya.
Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Pembayaran Cek Kepada Waris Allahyarham Abdul Razak Abdul Ghani yang meninggal dunia pada 6 Ogos lalu.
Beliau mengulas situasi semasa politik di negeri jiran iaitu Melaka, apabila empat orang ADUN kerajaan mengesahkan bahawa hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali, berkuatkuasa serta merta.
Keempat-empat mereka ialah bekas Ketua Menteri yang juga ADUN Sungai Udang (UMNO), Datuk Seri Idris Haron bersama ADUN Pengkalan Batu (Bebas), Datuk Norhizam Hassan Baktee; ADUN Pantai Kundor (UMNO), Datuk Nor Azman Hassan dan ADUN Telok Mas (Bersatu), Datuk Noor Effandi Ahmad.
Ia sekali gus menandakan, kerajaan diterajui UMNO hilang majoriti untuk terus mentadbir Melaka.
Ketika ini, kerajaan yang memerintah mempunyai 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Pakatan Harapan (PH) pula 11 kerusi. Apabila empat ADUN kerajaan bekerjasama dengan PH, ini membolehkan mereka mentadbir dengan majoriti 15 kerusi.
Sementara itu, pada majlis berkenaan, Aminuddin menyerahkan sumbangan cek faedah skim insurans berkelompok yang bernilai RM300,000 kepada waris Allahyarham yang merupakan Eksekutif Sous Chef di Hotel Klana Resort Seremban.
Waris Allahyarham diwakili anaknya, Nurbalqish Abdul Razak, 19.
Nurbalqish yang ditemui berkata, sumbangan tersebut akan digunakan sebaiknya bagi menampung kos pengajiannya dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Universiti Tun Abdul Razak. -UTUSAN ONLINE