MA63: Bukan ubah perjanjian, cuma pinda isu relevan dalam Perlembagaan - Utusan Malaysia

MA63: Bukan ubah perjanjian, cuma pinda isu relevan dalam Perlembagaan

WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Usaha penambahbaikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) hanya melibatkan pindaan terhadap beberapa perkara tertentu dalam Perlembagaan Persekutuan.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pindaan itu tidak melibatkan mana-mana isu dalam MA63.

 

“Tugas kementerian saya dalam perkara ini akan tertumpu kepada usaha untuk meminda artikel tertentu dalam Perlembagaan Persekutuan yang relevan terhadap MA63,” katanya.

 

Penjelasan itu sebagai maklum balas kepada pelbagai laporan media tempatan semalam melaporkan pindaan berkenaan konon membabitkan beberapa perkara dalam MA63 sendiri.

 

Menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini, beliau berkata, MA63 yang ditandatangani lima pihak termasuk Britain pada 9 Julai 1963 telah diiktiraf Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

 

Justeru, ujarnya, perjanjian yang membawa kepada pembentukan Malaysia itu serta melibatkan Malaya, Singapura, Borneo Utara (kini Sabah) dan Sarawak memang tidak boleh diubah, sebaliknya, pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan penting bagi memastikan hak-hak Sabah dan Sarawak akan dapat dikembalikan seperti dipersetujui dalam perjanjian.

 

Usaha yang dilaksanakan kementerian beliau dengan sokongan pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) adalah selari dengan matlamat diperakui perjanjian pada 1963 itu, termasuk memperbetulkan semula perkara tertentu disebut dalam Perlembagaan Persekutuan yang sebelum itu mungkin menimbulkan salah tafsiran kepada MA63.

 

Langkah berkenaan dapat mengembalikan hak rakyat dua negeri tersebut yang selama ini terhakis ekoran pindaan Perlembagaan Persekutuan atau penggubalan undang-undang baharu.

 

“Pindaan ini juga merealisasikan semula apa yang dinyatakan dalam perlembagaan tetapi tidak digerakkan sepenuhnya terutama di peringkat pelaksanaan oleh pegawai kerajaan,” katanya.

 

Isu berkenaan MA63 kata beliau, ialah perkara yang amat dekat di hati dan telah lama menjadi topik hangat perbincangan dalam kalangan penduduk Sabah dan Sarawak kebelakangan ini.

 

Bagaimanapun tambah beliau, untuk kali ini, isu yang perlu diberikan tumpuan khusus segera bermula daripada peringkat dasar kerana ia melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

 

Inisiatif tersebut ujar beliau, jelas menggambarkan kesungguhan kerajaan baharu di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob setelah mengambil alih kepimpinan negara.

 

“Pindaan perlembagaan ini juga memastikan rakyat di Sabah dan Sarawak tidak ketinggalan lagi, malah akan menerima hak yang sama seperti rakan mereka di Semenanjung,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya